BAB 1:
~Cantik-cantik bintang di langit
Hati teringin tangan tak sampai~
"Mie."
"Mie….."
"Apanya ?"
"Sampai bila kita nak macam ni ?"
"Macam mana ?"
"Macam inilah. Saya dah tak sanggup."
Rambut lurus lembut itu diusap-usapnya penuh kelembutan dan kasih-sayang. Suasana bilik tidur itu suram hanya dilimpahi cahaya lampu tidur yang malap di bahagian atas kepala katil.
"Selama ni kita selamat. Mana tahu satu hari nanti bala datang, habis kita Mie."
"Apa yang awak merepek ni ?" Remie menggeliat kemalasan.
"Dah pukul berapa ?" Sambungnya.
Riana menjangkau telefon bimbit di tepi katil. Apabila ditekan warna birunya menyilaukan mata di dalam keadaan suram itu.
"Dah dekat pukul dua pagi ni. Awak nak balik ?"
"Malaslah. Tak larat nak drive." Remie membetul baring agar selesa, mencapai sebiji bantal lalu dipeluknya sambil mengiring membelakangi Riana.
"Baju saya nak kerja esok ada tak sayang ?"
"
Riana turut berbaring di sebelah Remie. Dia menarik selimut menutupi tubuh mereka berdua kemudian memeluk Remie dari belakang. Tangannya diletakkan di atas lengan Remie yang berbulu halus. Hasrat untuk berterus-terang malam ini tertangguh lagi. Remie sudah pun melelapkan mata, jika mengganggu dia bermakna sengaja ingin dimarah. Riana mengeluh perlahan sambil
"Sayang, malam ni kalau takde hal saya datang ." Kata Remie pagi itu ketika dia membelek wajah di cermin selepas mandi. Tabiatnya picit
"Saya rasa tak payahlah Mie...." katanya tanpa mengalihkan pandangan daripada blouse yang sedang digosok.
"Kenapa ?
"Bukan macam tu…"
"Habis kenapa tak kasi saya datang. Bukan saya tak tahu awak.....tentu ada orang lain."
"Huh awak ni. Dengarlah dulu…."
Riana memandang Remie yang masih tegak di hadapan cermin besar.
"Bukannya ada orang lain nak datang. Saya takutlah Mie. Awak selalu datang tidur sini saya risau kalau jiran-jiran report pada jabatan agama. Mati kita Mie…."
"Hish awak ni suka fikir bukan-bukan. Hei ini kondolah, kondo! Kalau tidak buat apa saya beli rumah mahal-mahal ni." Nada suara Remie tinggi. Riana mengerti itu tanda dia tidak senang lalu dia terus mendiamkan diri.
"Awak jangan buat hal kat rumah saya ni. Kalau saya dapat tahu awak bawak balik jantan lain siaplah awak. Saya halau terus awak dari rumah ni." Remie memberi amaran keras sebelum mereka keluar dari rumah pagi itu. Selepas menyarung kasut dia terus bergegas turun tanpa sempat Riana memberikan ciuman di pipinya seperti biasa. Riana tahu dia telah merosakkan mood lelaki itu.
Biarlah...sampai masa Remie akan mengerti apa yang difikirkannya.
Riana tidak kecil hati dengan amaran Remie itu kerana dia tahu Remie masih belum mempercayainya seratus peratus walaupun telah berkali-kali diterangkan dia tidak punya sesiapa lagi kecuali Remie seorang. Pandangan prejudis Remie terhadapnya masih menebal walaupun telah setahun lebih mereka berhubungan. Itulah yang Riana tidak faham. Kalau tidak percayakan aku kenapa masih bersama ?
Kereta Kancil yang baru dua bulan dibeli itu dipandu keluar dari kawasan kondo dengan perlahan-lahan. Perdana hitam Remie pula sudah menderum pergi meninggalkan debu-debu di belakang. Dahulu sebelum Riana membeli kereta sendiri Remie yang menghantar dan menjemputnya pulang dari kerja. Riana sedar selama mereka berhubungan Remie telah banyak membantunya. Malah jawatan yang disandangnya sekarang ini pun atas usaha Remie mencarikannya pekerjaan selepas dia tamat belajar di UPM. Saiful kawan Remie, pegawai senior di sebuah syarikat pengiklanan. Kerana itu Riana dapat menyandang jawatan penting dalam bahagian sumber manusia di syarikat itu.
Kondo yang didiaminya sekarang ini pun milik Remie. Sebelum ini rumah itu disewakan kepada orang sedangkan dia sendiri menyewa kondo lain yang lebih murah bersama kawan-kawannya. Selepas dua bulan mereka berkenalan Remie meminta Riana tinggal di kondo itu dengan bayaran ansuran rumah itu dikongsi bersama Riana separuh seorang. Kereta Riana yang baru dibeli itu, pun Remie yang menguruskan pembeliannya.
Tetapi bukanlah disebabkan pertolongan-pertolongan Remie yang membuatkan Riana terus terikat kepada lelaki itu.
Dia memang menyukai Remie sejak mereka berkenalan sebaik saja dia menamatkan semester terakhir di UPM. Kebetulan ketika itu Riana baru melepaskan hubungan-hubungannya dengan beberapa orang lelaki. Ketika itu dia merasakan sudah sampai masanya untuk membina perhubungan serius dengan seorang lelaki. Dan lelaki yang ditemuinya itu; Remie memang disukainya kerana sikap Remie yang tegas dan berpendirian. Remie tidak suka menunjukkan kasih sayang yang berlebihan.
Remie juga seorang yang komited dengan kerja membuatkan hati Riana terus tertambat dan ingin terus bersama walaupun Remie tidak pernah bersumpah setia. Kadang-kala dia agak ragu mengenangkan sikap Remie terhadap perhubungan mereka. Remie tidak pernah mengucapkan apa-apa yang boleh meyakinkannya yang dia benar-benar diperlukan dalam hidup lelaki itu.
Tetapi perhatian dan kunjungan Remie menyedapkan kembali hati Riana. Dalam kesibukan Remie menguruskan syarikatnya sendiri yang dikongsi bersama seorang teman itu, Remie tidak pernah mengabaikannya lebih daripada dua minggu. Setiap dua hari, atau kadang-kadang setiap hari Remie akan berkunjung dan bermalam di kondo itu. Saat itu memang ditunggu-tunggu Riana. Kalau boleh dia mahu setiap hari Remie berada di sampingnya, atau kalau Remie angkut kain baju terus tinggal di kondo itu pun tidak mengapa. Tetapi dia takut juga kalau-kalau disergah JAIS. Paling lama Remie mendiamkan diri seingat Riana ialah sembilan hari. Sepanjang tempoh itu Remie tidak pernah menelefon atau berkunjung ke kondo itu.
Dia pula sengaja tidak menghubungi Remie untuk melihat sejauh mana Remie memerlukan dirinya.
"Jadi tak, tidur rumah aku malam ni ?"
Mimi teman seuniversiti menelefon pada petang itu untuk kali yang kedua. Mimi meminta diteman tidur kerana suaminya bekerja di luar daerah. Riana agak cuak untuk meninggalkan rumah, bimbang Remie akan ke situ malam itu. Tetapi dia marah juga dengan lelaki itu, sudah seminggu lebih menghilang tanpa sebarang kata.
"Ummmm....okeylah. Kau datang ambil aku ya."
Tanpa Riana sangka malam itu Remie pulang ke kondo. Apa lagi mengamuk sakanlah lelaki itu mendapati Riana tiada di rumah. Riana ketika itu sedang enak bergosip di dapur Mimi apabila telefon tangannya berdering nada khas untuk Remie.
Baru saja butang menjawab ditekan dan telefon ditekap ke telinga, suara Remie yang berbaur cemburu menerjah pendengaran Riana.
"Di hotel mana awak ada sekarang awak cakap ! Saya pergi ambil awak sekarang juga." Keras suara Remie walaupun nadanya tidaklah tinggi mana. Dada Riana berdebar menahan gemuruh. Remie main serkap jarang sahaja.
"Saya bukan di hotel. Saya kat rumah kawan…"
"Kawan apa? Kawan jantan ? Awak bagi alamat rumah jantan awak tu sekarang juga saya pergi ajar awak."
Dalam ketakutan Riana hampir tersenyum. Dek kerana prejudisnya dia terhadap Riana apa saja tindakan Riana pun dia curiga. Riana sedar permintaan Remie mahu menjemputnya sekarang juga perlu dipenuhi, tidak perlu berdolak-dalik di saat dia mengamuk bagai lembu gila seperti waktu itu.
"Okeylah awak datang ambil saya sekarang. Nombor 23, Jalan Jati 12,
"Apahal ?"
Mimi menjengah dari ruang dapur.
"Errr.….nampaknya kau kena tidur seorang jugaklah malam ni Mi. Aku kena baliklah, ada monster mengamuk."
"Laaa…monster kau datang rumah ke ?" Tanya Mimi hampir tergelak.
"Ya la….aku tak sangka pulak dia nak datang malam ni. Habislah aku dia marah gila tu…" Riana menuang air oren yang dibancuh Mimi tadi.
"Tu la engkau aku dah kata bagitau kat dia dulu. Kau tak nak pulak…." Bebel Mimi.
"Habis tu macam mana ?" Tanyanya pula.
"Huh macam mana apanya. Dia on the way datang nak ambil aku le tu. Sorry ye Mi tak dapat temankan kau malam ni."
Mimi tersenyum-senyum memandang temannya. Wanita ini memang bersifat happy go lucky, apa–apa hal pun bagaikan kelakar baginya sedangkan Riana agak berdebar menanti reaksi Remie seterusnya.
"Tak apa la kalau macam tu. Sabar je la
"
"Eh mana la tahu kalau aku pergi rumah kau, dia halau aku balik pulak." Sela Mimi.
"Hish kau ni. Kalau macam tu aku pun tak nak duduk rumah tulah. Baik aku cari rumah sewa lain je."
"Dia datang ambil kau ni, jangan-jangan dia pukul kau bila sampai rumah nanti tak. Habislah member aku jadi mangsa dera. Kalau dia pukul kau cepat-cepat telefon aku tau nanti aku datang rumah kau bawak polis…" Repek Mimi sambil tergelak. Riana turut tergelak.
"Takdelah sampai pukul-pukul. Berani dia pukul aku. Sebelum dia pukul aku, aku pukul dia dulu ." Mereka ketawa diikuti lawak-lawak merapu yang lain. Satu sebab Riana suka berkawan dengan Mimi kerana sifatnya yang suka berjenaka dan berfikiran positif. Sering saja mereka bergurau senda seperti ketika di zaman universiti walaupun kini umur sudah berada di angka dua puluh
Dua puluh
"Mana jantan awak tu ? Tengok sikit muka dia."
Riana tersenyum sahaja.
"Jantan apanya. Ini rumah Mimi la…kawan saya di UPM dulu ."
Mimi muncul dari sebalik pintu.
"Hai. Sorrylah. Saya yang ajak Yana datang tidur sini. Ingatkan awak tak pergi rumah dia malam ni sebab tu saya ajak. Kesian dia…sorang-sorang kat rumah." Mimi cuba meredakan ketegangan.
Remie hanya diam. Agaknya malu dengan keterlanjurannya sendiri.
"Okeylah Mi. Aku balik dulu ya. Nanti bila-bila datanglah rumah aku kita borak-borak."
Riana bersalaman dengan Mimi. Mimi pula masih tersenyum-senyum.
"Boleh ke aku datang rumah kau?" Tanya Mimi sambil menjeling Remie.
"Boleh. Apa salahnya. Bukannya ada gergasi garang kat rumah aku tu, aku sorang-sorang je. Ha kau tu bawak-bawak biasakan diri tidur sorang kalau laki tak ada. Tak payah lagi menyusahkan member…"Sela Riana pula. Remie terus berpaling menuju ke kereta. Mereka berdua menahan ketawa sebelum Riana mengikut Remie.
Di dalam kereta, sebaik meninggalkan rumah pegawai perhubungan awam syarikat swasta itu Remie terus saja membuka mulut.
"Awak buat apa kat situ ? Dah takde rumah sendiri nak duduk ? Ke rumah saya tu tak standard untuk awak ? Rasa bosan, nak duduk rumah lain pulak ?" Soalan Remie yang bertubi-tubi itu membuatkan Riana tersenyum. Suka benar Remie menyoal begitu, kalau orang lain begitu pasti dikatanya suka berfikiran bukan-bukan. Bahagian diri sendiri dia tidak ingat pula.
"Laki dia takde kat rumah, outstation. Jadi dia ajak saya temankan dia malam ni, dia bukannya biasa tidur sorang." Jelas Riana dengan suara lembut. Jika Remie mengamuk tidak guna dia pun bertegang leher, dibiarkannya saja Remie merepek sesuka hatinya.
"Dah tahu takut duduk sorang jangan duduk sorang. Ajak saudara ramai-ramai duduk sekali baru tak menyusahkan orang." Bebel Remie.
"Yang awak ni pun dah tak reti nak call saya ke ? Nak ke mana-mana suka hati pergi, telefon saya bagitau pun tak boleh, susah ke ? Dah tak ingat nombor telefon saya ?" Sambungnya lagi. Kenderaan yang agak banyak tersusun di jalan raya membuatkan wajahnya bertambah keruh.
"Bukan saya tak ingat nombor telefon awak, awak tu yang dah lupa nombor telefon saya. Entah ke mana-mana dia pergi berhari-hari senyap je." Riana meluah isi hati. Itu pun dengan suara yang perlahan bimbang dia menyimbah api ke minyak Remie yang masih menggelegak.
"Lagi pun saya isteri awak ke ? Kenapa saya nak kena bagitau awak kalau saya nak pergi mana-mana ?" Duga Riana. Dia ingin mendengar pengakuan Remie.
Remie menjeling Riana di sebelah. Dia tiada jawapan untuk soalan itu.
"Saya tak call awak sebab sibuk. Banyak kerja lain saya nak kena buat, bukannya asyik nak menempel kat awak je. Sendiri fahamlah."
Remie diam seketika bagi memberi perhatian pada jalan raya.
"Habis kalau saya senyap awak pun senyap ? Apa guna awak ada telefon. Call jantan lain ?" Lagi sekali Remie menuduh melulu.
Riana tidak menjawab. Dibiarkan Remie membebel sekali-sekala berselang-seli dengan suasana diam antara mereka. Tidak perlu dia menjawab tuduhan Remie itu kerana bagi Riana dia tidak pernah menelefon atau berjumpa lelaki lain semenjak dia menetapkan hatinya untuk Remie.
"Awak dah makan ?" Tanya Riana selepas beberapa ketika Remie diam. Ketika itu kereta sudah menghampiri Taman Bukit Kenangan.
"Belum. Ingat nak ajak awak makan kat luar tapi awak pula hilang entah ke mana." Kata Remie masih dalam nada marah.
Riana tersenyum sambil tangan kanannya dilabuhkan di atas paha Remie.
"Kan dah jumpa saya ni. Jomlah makan, saya temankan awak emm ?"
Namun Remie terus memandu masuk ke tempat letak kereta di bawah bangunan kondo itu.
"Tak payahlah. Saya dah malas."
Mereka keluar dari kereta. Masuk ke dalam rumah, Remie terus membuang badannya ke atas sofa lembut sambil menekan remote Astro. TV besar 29 inci yang dibeli Riana terpasang dengan saluran yang dipilih dari Astro. Riana bersimpuh di atas permaidani di hadapan Remie.
"Takkan tak nak makan pulak. Tak lapar ke ?" Riana bersuara lembut. Wajah Remie masih mencuka. Dalam tegas dan egonya kadang-kala Remie bersifat seperti kanak-kanak. Semua kehendaknya perlu dituruti.
"Saya tengok apa-apa yang ada kat dapur ya, saya masakkan untuk awak…" Pujuk Riana sambil tangannya mengelus rambut Remie yang lembut. Remie yang terbaring di sofa diam membatu. Riana tahu dia memang lapar ketika itu. Riana menundukkan muka lalu mencium pipi Remie sambil tangannya menjalar ke punggung Remie dan dipicit-picitnya bahagian itu. Daripada serius Remie langsung tergelak. Dia memang alah jika Riana memegang punggungnya. Geli.
Tangannya menghalang tangan Riana daripada terus mengusik punggungnya. Dia sendiri memaut wajah Riana lebih dekat lalu mengucup bibir mekar Riana yang tidak bergincu. Mereka bertukar senyuman mesra. Sesaat kemudian Riana bangun menuju ke bilik untuk menukar pakaian sebelum ke dapur memasak apa yang ada buat hidangan Remie. Begitulah Remie, senang sekali marah dan senang pula sejuknya.
Dan malam itu menyaksikan kesenangan hati Riana kerana Remie ada di sisinya setelah lebih seminggu dia keresahan menunggu Remie.
Remie....nama yang semakin lama semakin bertapak kejap di hatinya.....
bersambung adanya.....
BAB 2 :
Azan Maghrib mulai berkumandang sebaik dia pulang dari kerja petang itu. Seperti hari-hari yang lalu, ruang rumah itu sunyi, sepi dan kaku.
Di kondo yang mempunyai tiga bilik tidur itu Riana setia menunggu seseorang datang menceriakan harinya. Dia isteri tidak rasmi Zuraimi Ahmad Zaki. Ya, apa lagi yang boleh dikatakan. Dia memang diperlakukan bagai isteri. Dan dia sememangnya sentiasa menunggu kedatangan Remie.
Sangat bahagia kiranya Remie ada di sisinya sepanjang malam. Bukan dia hendakkan sangat layanan intim lelaki itu, dia cuma ingin memeluk dan merasai adanya seseorang di sisi.
Setahun lebih sudah dia mendiami kondo Remie itu. Remie yang meminta Riana tinggal di situ. Dia mahu rumahnya sentiasa terjaga, tidak mahu mendedahkan rumahnya kepada kerosakan-kerosakan yang mungkin dilakukan oleh penyewa yang tidak bertanggungjawab.
Petang tadi Remie menelefon, katanya malam ini akan datang ke kondo. Suka sungguh hati Riana. Sudah tiga hari Remie tidak datang berkunjung. Rindunya membuak-buak.
Remie. Belaiannya ajaib. Tak pernah Riana rasakan sebegini bahagia bersama seseorang. Antara ramai-ramai yang pernah berkasih, atau mengasihi, Remie saja yang betul-betul mengikat hatinya. Dahulu seseorang pernah bertapak kukuh di hati Riana, lama dulu. Entah di mana silapnya, kasih dibina musnah di pertengahan. Sejak itu Riana berhati kering. Cinta datang dan pergi bagai air pasang dan surut. Dia tak dapat lagi merasa keanehan bercinta sehinggalah Remie muncul membawa semula segala rasa cinta. Agaknya memang ditakdirkan dia mengasihi Remie, lelaki yang misteri....sukar dicungkil rahsia hatinya.
Yang nyata, Remie telah banyak mengubah sikap dan prinsip dirinya. Dahulu Riana sangat cengeng, dan pemarah juga. Seringkali dimarahi Remie kalau dia merengek meminta dimanja-manja. Pantang sungguh Remie kalau Riana tidak tahu membuat keputusan sendiri.
"Belajar tinggi-tinggi tapi benda kecil pun tak tahu fikir !"
Remie sukakan wanita yang tahu berdikari. Kerana itu Riana telah jauh berubah. Bukan berubah kerana Remie, tapi kerana rasa malu, selama ini begitu banyak sifat-sifatnya yang jelek. Selama ini dia begitu naif, tidak yakin diri dan selalu bergantung harap pada orang lain sedangkan sendiri boleh buat. Mengenali Remie, dia turut mengenali diri sendiri. Remie mendewasakan dirinya.
Suasana waktu Maghrib dirasakan semakin sunyi. Riana lantas menekan alat kawalan jauh radio. Berkumandang ayat-ayat suci daripada surah An-Nuur dibacakan begitu syahdu dan mengasyikkan sekali.
Hairan ! Siapa yang menukar saluran radio ini ? Biasanya dia mendengar ERA, atau kalau Remie datang dia akan memilih HITZ. Mungkin dia tertekan secara tak sengaja. Biarlah. Bagus juga mendengar bacaan al-Quran senja-senja begini. Hatinya terbuai. Dibacakan pula terjemahan ayat-ayat itu.
"(Ini adalah) satu surah yang Kami turunkan dan Kami wajibkan (menjalankan hukum-hukum yang ada di dalam)nya, dan Kami turunkan di dalamnya ayat-ayat yang jelas, agar kamu selalu mengingatinya.
Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali dera, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.
Laki-laki yang berzina tidak mengahwini kecuali perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak dikahwini melainkan oleh laki-laki yang berzina atau laki-laki musyrik; dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang mukmin."
Riana terpaku di situ.
Remie ! Remielah laki-laki yang berzina, dan aku ! Akulah perempuan yang berzina !
Perasaannya jadi gelora, hatinya jadi luka. Betapa hinanya terasa dibidas ayat-ayat itu. Ayat-ayat yang diyakini, ayat-ayat yang termaktub, ayat-ayat yang sepatutnya dipegang kukuh oleh setiap umat manusia. Riana tidak menafikan apa pun, sememangnya dia hamba yang hina. Jadi dirinya tidak layak dinikahi melainkan oleh laki-laki yang berzina !
Riana meluru ke bilik mandi. Dibasahkan segenap inci tubuhnya, tubuh yang sekian lama terpalit noda-noda, dosa-dosa sebesar gunung. Malah mungkin besar lagi dosanya kalau dibandingkan dengan gunung. Bersatu air pili, air matanya merembas laju bagai air terjun di pergunungan. Sebak. Hiba. Berdosa.
Berada di rumah keseorangan di waktu-waktu begitu memang mengundang hiba yang hebat seolah-olah terasa ia memukul-mukul pantai hati sehingga bergelora.
Dijengah keinsafan yang bertandang itu, Riana segera menyucikan diri dan segera pula dia sujud kepada Tuhan Maha Pencipta. Namun sejenak itu terfikir pula dia apakah amal ibadat yang dilakukan dengan jasad yang kotor penuh dosa itu diterima Tuhan ?
Riana memang pasti dia ingin bertaubat, tetapi belum pasti apakah dia mampu menghidari dosa yang seterusnya pula ?
Kerana dugaan dan godaan itu masih melingkari garis hidupnya. Bagaimana harus dia lari ? Bagaimana harus menghentikan semua itu dengan segeranya bila mana sejurus itu pula Remie datang dengan membawa cinta yang didambanya ?
Apabila melihat Riana berlinangan air mata begitu Remie pun akan menjadi pelembut dan penyayang yang mana itulah pelemah benteng Riana yang paling nyata.
"Kenapa sedih-sedih ni emm, sayang ? Problem kat tempat kerja ? Sayang sakit ?" Dia memaut Riana rapat ke tubuhnya dan mengusap-usap rambut hitam Riana yang lurus panjang. Dan, itulah sebenarnya dugaan yang tidak mampu Riana tolak. Berada di dalam pelukan kasih sayang Remie yang pasti membuatnya rasa selamat dan selesa.
"Saya teringin sangat awak selalu ada di sisi saya." Tutur Riana perlahan.
Remie menguraikan pelukan lalu menyingkap telekung yang menyelimuti tubuh kecil itu.
"Kan saya selalu ada. Kalau saya tak datang bermakna saya sibuk, awak kenalah faham. Next time kalau perlukan saya just give me a call, saya akan datang jumpa awak." Dalam keadaan begitu bicaranya sungguh lembut dan menghayati keadaan.
"Bukan semata-mata datang Mie. Saya nak something for good. Saya nak awak."
"Yana ! Tolonglah faham. Saya banyak kerja. Saya tak boleh selalunya ada di sisi awak. Banyak lagi commitment saya nak kena jaga." Nada suaranya mula tinggi sedikit. Riana mengeluh dalam hati. Mie ! Tolonglah faham bukan itu yang saya maksudkan !
Riana mengempang air mata membiaskan rasa hati yang tidak mampu terluahkan, lantaran kata-kata disalaherti oleh Remie. Apakah kerja yang banyak yang perlu Remie bereskan setiap masa ? Apakah komitmen besar yang begitu menuntut perhatian Remie ? Mengapakah aku tidak diberi kepercayaan untuk mendengar permasalahan Remie, mengapa aku disisihkan untuk sama-sama memahami dan menyelesaikannya jika mampu ?
"Yana... sayang.... Jangan nangis lagi, Mie ada ni."
"Saya tak nak hidup macam ni lagi. Saya nak kita kahwin Mie." Berterus-terang adalah senjata ampuh untuk mendepani Remie.
Wajah dibasahi air mata dan suara bergetar dilanda emosi memungkinkan hasratnya difahami Remie dalam erti kata yang sebenar. Kedengaran Remie mengeluh perlahan. Riana sudah menjangkakan itu, malah alasan yang sama juga mungkin diberikannya nanti.
"Kahwin. Bukan senang Yana. Besar tanggungjawabnya. Ia akan merubah diri dan cara hidup kita awak tahu." Suara Remie perlahan dan mendatar tetapi jelas.
"Saya tahu Mie. Tapi takkanlah sebab itu awak tak nak kahwin. Sampai bila kita nak hidup macam ini takde kesudahan ? Lagi pun kalau orang lain boleh buat, orang lain boleh pikul tanggungjawab dalam perkahwinan kenapa pula kita tak boleh ?"
"Jangan libatkan orang lain. Masalah sekarang awak dan saya. Saya belum sedia lagi Yana."
"Apa sebenarnya masalah awak Mie ?"
"Tak payahlah awak tanya. Ada jodoh tak ke mana, besok-besok kahwinlah kita."
Dengan berakhirnya ucapan itu Remie melangkah keluar dari kondo bersama kunci keretanya meninggalkan Riana dengan persoalan di hati yang kian membengkak. Berbincang dengan Remie tidak memberi apa-apa penyelesaian sebaliknya meninggalkan lagi persoalan. Sudah sering begitu. Remie akan mengelak untuk berbicara tentang perkahwinan.
Apa sebenarnya yang dimahukan Remie. Sudikah dia hidup begini selama-lamanya ? Riana bingung. Dia mahu menyucikan diri dan hati. Dia mahu hidup normal berkeluarga seperti orang lain tetapi mahukah Remie ?
huhuhu....sambung lagi.....
BAB : 3
Betapa magisnya hidup ini. Baru tadi Riana terfikir dia kini berada di negeri kelahiran Irfan, mana tahu kalau-kalau terserempak Irfan di sini. Tetapi dia cepat-cepat menyangkalnya semula, kerana setahu Riana Irfan bekerja di Kuantan, dan kalau dia balik menjenguk ibunya pun di Seremban bukan di PD.
Tetapi kini di depan matanya benar-benar wujud Irfan, satu pertemuan yang tidak pernah disangkakan.
Riana membatalkan niat untuk menjelajah ke semua kedai yang ada di situ. Selepas bertemu Irfan situasi dirinya telah menjadi lain. Ada rasa gemuruh dan gementar yang bukan dibuat-buat. Irfanlah lelaki yang pernah mendiami lubuk hatinya paling dalam. Tidak seperti banyak lelaki lain yang pernah hadir, kewujudan Irfan memberi impak yang besar dalam hidup Riana.
Dahulu selepas putus hubungan dengan Irfan, berhari-hari Riana rasa kesakitan dalam dada menyucuk-nyucuk setiap kali bangun dari tidur. Yang sebenarnya itu bukan sakit fizikal tetapi sakit dalaman akibat bersedih dengan kehilangan Irfan. Berbulan-bulan pula Riana berperasaan setiap lelaki kurus tinggi yang dipandangnya kelihatan seperti Irfan. Sana Irfan, sini Irfan. Lalu Riana menyedari bahawa dia sebenarnya terlalu merindui Irfan.
Penderitaan tidak habis di situ, setahun lebih selepas berpisah, Riana menangis lagi kerana Irfan. Niat mengucapkan selamat hari jadi menjadi bala apabila Riana menelefon Irfan, orang lain yang menjawab.
"Saya tunang Irfan." Begitulah indahnya kata-kata orang yang menjawab panggilan.
Berguguranlah air mata Riana mengenangkan dirinya sendiri. Saat dia terkenang-kenang Irfan, rupanya orang itu sedang membina kasih dengan orang lain. Cukup. Noktah. Dari saat itu tiada lagi harapan. Berita yang sungguh pahit itu menjadi pemecah tembok harapan hati Riana yang selama ini terharap-harap Irfan akan kembali kepadanya.
Dan kini, Irfan sudah pun berkahwin. Walau pun hatinya agak terusik dengan pertemuan itu tetapi Riana cukup sedar diri. Tidak mungkin akan ada lagi cerita dia dan Irfan selepas itu. Yang ada hanyalah cerita lama yang sesekali terkenang. Hanyalah untuk dikenang semata-mata, tidak untuk dicuit atau diperpanjangkan. Tidak perlu menambah masalah baru kerana masalah yang ada ini pun amat berat untuk Riana pikul. Masalah Remie.
******************************************
Dia bencikan keadaan ini. Terlalu banyak perkara yang tidak menyenangkan berlaku dalam masa yang sama. Pagi tadi, pengarah syarikat Intan Juara merungut-rungut tentang kesalahan ejaan pada permohonan sijil online yang dibuat oleh oleh stafnya Mona. Intan Juara Sdn Bhd menjadi Intan Juara Sdn Vhd.
Penandatangan cek yang sepatutnya seorang dibubuhnya dua orang. Memang hanya kesilapan kecil yang boleh dibaiki tetapi kalau pelanggan sudah merungut, dia jadi tidak selesa. Dia mahu memberi yang terbaik untuk pelanggan tak kira perkhidmamatan kecil mahu pun besar. Kesilapan, kalau selalu terjadi akan menjejaskan nama syarikat. Dan stafnya Mona, nampaknya tidak jemu-jemu melakukan kesilapan seperti itu.
Semalam, dia makan tengahari di rumah mama. Orang tua itu telah menimbulkan isu yang kalau boleh sama sekali tidak mahu didengarinya.
"Esok mama nak pergi kenduri kahwin anak kawan mama, Untie Ramlah. Kawan-kawan mama tu....sorang demi sorang menyambut menantu, menimang cucu....mama ni, entahlah bila."
Mulanya dia buat tidak tahu saja. Malas melayan karenah mama yang ada-ada saja. Dia buat-buat sibuk menceduk gulai, menambah nasi sedangkan perutnya telah kenyang benar.
"Engkau ni bila Along oi ? Cepat-cepatlah bawa girlfriend along ke rumah, jumpa mama dan papa ni. Mama tak kisah siapa-siapa, asalkan along suka mama suka."
Dia hanya tersenyum memandang mamanya. Entah apa mimpi orang tua itu tiba-tiba menyebut tentang menantu.
"Apalah mama ni, macam dah nak kiamat. Banyak masa lagi ma....janganlah rushing sangat nanti semua benda tak menjadi. Along nak tumpukan pada syarikat dulu. Lagi pun along nak kahwin dengan siapa ? Along mana ada makwe..."
"Eleh....macamlah orang tak tahu Along tu....takde girlfriend konon !"
Remie menjegilkan mata. Si kembar Nana dan Nini tersengih-sengih. Dihulurkan kaki ke depan lalu ditekannya kaki Nana kuat-kuat. Nana melawan . Ditendangnya kaki Alongnya semula.
"Kalau mama teringin menantu, ni....kahwinkan aje budak debab dua orang ni, dah gatal sangat nak kahwin tu !"
"Eh Along ni, budak-budak ni kecik lagi...baru lapan belas. Along tu yang dah sepatutnya kahwin...dah sampai masa dah."balas mamanya.
Balik-balik kahwin. Kenapa semua orang bercakap tentang kahwin. Dua hari lepas Riana yang merengek-rengek nak kahwin. Hari ini mama menyuruhnya kahwin. Apa yang seronok sangat tentang kahwin ? Dia tidak nampak sebarang keseronokan tentang kahwin, kecuali masalah-masalah yang bakal menimpa. Sebenarnya dia bukanlah suka memikirkan perkara yang remeh-temeh. Buat apa peningkan kepala. Tetapi kalau semuanya datang serentak, dia agak resah juga.
Dan petang ini, datang lagi masalah lain. Emel dari London itu benar-benar membuatnya bengang.
Sia-sia pengorbanannya selama ini. Dia ingatkan penantian yang selama empat tahun itu akan berakhir sebulan-dua lagi, tetapi emel dari London itu memintanya menunggu selama dua tahun lagi. Gila ? Walau pun dia selalu memungkiri janji tapi kalau orang lain yang mungkir janji terhadapnya, dia tersangat bengang. Rasa marah meluap-luap.
Perempuan ! Mudah lupa pada janji !
Dia berasa rimas serimasnya. Ruang pejabat itu tidak lagi dingin seperti biasa. Lantas Perdana hitam dipandu laju ke Taman Bukit Kenangan.
Remie memanjat tangga ke tingkat satu. Kondonya yang didiami Riana gelap gelita. Ke mana pula Riana ? Remie mencampakkan kunci rumah ke atas meja lalu menghempaskan diri ke katil yang berkemas rapi. Riana sudah pandai meninggalkan rumah tanpa memberitahu. Baru tiga hari dia tidak ke situ, Riana sudah buat hal. Dia teringat hari Selasa lepas Riana menangis di atas sejadah. Gadis itu meminta dikahwini. Dia bukan tidak mahu berkahwin, cuma masanya tidak sesuai. Terlalu banyak perkara yang harus diberi tumpuan. Syarikatnya sedang berkembang. Banyak pelanggan yang datang meminta khidmat. Projek-projek lain pun banyak yang akan menyusul, takkanlah pula pada masa itu juga dia hendak berkahwin. Rahmat rakan kongsi syarikatnya itu sedang terumbang-ambing dengan masalah rumahtangga, jadi dia yang seharusnya mentadbir syarikat dengan sempurna.
Kenapa wanita terlalu sukar untuk memahami apa yang difikirkan lelaki ? Atau diakah yang terlalu sukar untuk memahami wanita. Di mana Riana ? Remie kecewa. Selalunya kalau dia bermasalah, pasti Riana sentiasa ada di sisi, menenangkannya, mengusap lembut rambutnya, memeluk dirinya sambil mengucapkan cinta. Riana tidak pernah merungut walau pun dia tidak berkunjung ke kondo itu sehingga berhari-hari lamanya. Riana tidak berani bertanya ke mana dia pergi, kenapa dia tidak pernah menelefon. Kejamkah Remie ini ? Dia sedar perhatiannya kurang pada Riana. Dia selalu mahu dimanjai Riana, tetapi tidak pernah mahu mengambil tahu apa yang difikirkan gadis itu. Riana....rindunya meruntun kini.
Truuuuuuttt.....
Remie tersentak. Dicapainya telefon bimbit di kepala katil. Sebentar tadi dia terlelap tanpa disedarinya.
"Hi honey. You dah baca emel yang I hantar hari ni ?"suara lembut itu sayup-sayup menerjah pendengarannya. Remie bingkas bangun. Suara ini sudah lama tidak didengarinya.
"You main-mainkan ?"
"No Honey...I tak main-main. I call ni pun nak pastikan you tahu, I tak akan balik dalam masa terdekat ni..."
"You kata nak balik lepas habis study, alih-alih nak kerja kat sana pulak...apasal ni ?"
"Itulah...tiba-tiba je I dapat offer kerja kat sini, takkan I nak tolak ? Ala bukannya lama....dua tahun cukuplah. I nak cari pengalaman kerja di tempat orang....."rayunya.
Hati Remie kembali panas. Elly telah melampau.
"Pengalaman kerja di mana-mana sama je. You jangan nak bohonglah, kalau you tak apply takkan orang nak offer kerja ? Ini mesti you yang tergedik-gedik nak tinggal terus kat sana kan ? Okeylah kalau macam tu....you tak balik langsung pun tak apa !"suara Remie meninggi.
Dia cukup marah kerana Elly telah mungkir janji.
"Sampai hati you cakap macam tu. Empat tahun tempoh I study you boleh tunggu, takkan dua tahun lagi tak boleh ? Selama mana pun I kat sini, berapa jauh pun kita, hati I tetap pada you."pujuk Elly lagi dengan suara yang cukup lembut.
Namun itu tidak melembutkan hati Remie. Wanita mana pun sama saja. Entah-entah Elly sudah tersangkut lelaki orang putih. Hatinya membara.
"It's up to you Elly. Kalau you nak kerja juga kat sana, ok. Kerjalah...tapi jangan balik cari I lagi."Telefon bimbit dicampak ke sisi.
Remie termenung panjang. Terbayang sesusuk tubuh seksi milik Elly. Dahulu sewaktu di sekolah mereka pasangan yang secocok, kata kawan-kawan. Dia tidak dapat membayangkan rupa Uda dan Dara, atau seakrab mana Rumi dan Juli, tetapi kalau hendak dibandingkan dalam zaman sekarang, Remie dan Elly bagai Alexander Young dan Arianna Teoh, sama cantik sama padan. Walau pun tidaklah sekacak Alexander, tetapi dia tetap berbangga dapat memiliki Elly. Ramai yang cemburu. Mana tak cemburu, kulit Elly putih melepak, tubuh tinggi lampai persis model, wajah cantik seperti gadis Pan Asian. Remie memejamkan matanya.
Malam-malam hangat bersama Elly terbayang kini. Elly sungguh bijak menggoda. Sekali berjumpa, takkan lengkap kalau tidak menunaikan kewajipan. Elly sentiasa penuh penghayatan dan perasaan, tidak seperti Riana yang sering takut-takut. Kelelakiannya sering teruji bila bersama Elly. Tetapi kini, Elly meminta untuk berjauhan dua tahun lagi. Tidak....dia sama sekali tidak sanggup. Selama empat tahun Elly di London, dia sering resah kalau tubuh seksi itu dijamah lelaki lain. Dia terlalu gundah kalau hati Elly diracuni kata-kata cinta lelaki mat saleh yang bijak memikat.
Elly, jangan persiakan cinta yang hampir sedekad ini.....
BAB : 4
~Barang yang lepas jangan dikenang
Kelak dikenang merana badan~
10.40 malam. Riana masih duduk-duduk di atas benteng konkrit di pinggir Selat Melaka itu. Di bahagian bawah benteng itu air laut menendang-nendang, menghempas-hempas benteng dengan aksi yang agak keras sesekali.
Di hadapannya laut luas yang hanya kelihatan hitam kelam. Ada juga beberapa tompok cahaya kecil di kejauhan. Mungkin cahaya dari kapal-kapal yang sedang bergerak di lautan luas itu. Sesekali Riana berpaling ke belakang. Yang terpandang adalah bangunan hotel tersergam indah dengan bilik-biliknya ada yang bergelap dan ada yang masih cerah. Riana meneka-neka mana satu bilik yang disewanya. Tingkat tiga. Ada banyak bilik di tingkat tiga. Entahlah yang mana satu, malas Riana hendak ambil pusing lagi.
Ada beberapa pasang muda-mudi dan juga yang tidak berapa muda berjalan-jalan di sekitar pantai dekat hotel. Ada yang berkumpulan atau berkeluarga. Nampaknya Riana sahaja yang keseorangan bermenung di situ.
Di mindanya masih terfikirkan pertemuan dengan Irfan. Sudah lebih tiga tahun mereka tidak bertemu namun Irfan kelihatan begitu juga. Kurus, rambut paras bahu, kulit sawo matang, percakapannya lembut dan perlahan dengan wajah yang bersahaja, wajah tanpa dosa walau pun hakikatnya pasti banyak dosa. Manusia manakah di zaman ini yang dapat lari daripada melakukan dosa ?
Irfan, sudah beranakkah dia ? Tiba-tiba soalan itu terpacul dalam minda Riana. Lupa dia menanya itu tadi. Sebenarnya banyak yang ingin ditanya tapi kerana gelabah tidak menentu semuanya jadi terlupa. Tiba-tiba pula Riana rasa rindu untuk berbual-bual dengan Irfan. Bercerita dari hati ke hati, bergurau, bermain teka-teki, saling usik-mengusik dan membincangkan masa depan seperti yang mereka lakukan dahulu. Dahulu, cerita cinta yang sangat indah.
Seperti kata Irfan;
"Kentut masih wangi."
Maksudnya di awal percintaan memang indah, segala apa berkenaan kekasih hati semuanya betul dan cantik dipandang. Sememangnya Riana dan Irfan pernah melalui zaman 'kentut wangi' itu bagai berfantasi berjalan di atas pelangi. Namun pelangi hanya datang seketika, tiba waktu ia akan pergi meninggalkan memori. Begitulah kisah cinta Riana dan Irfan yang kini hanya tinggal sejarah, tidak mungkin ada yang kedua kali. Bibir Riana menguntum senyum halus. Biarkan kenangan itu berlalu. Yang ada hari ini adalah untuk dihadap pada hari ini.
Tetapi salahkah kalau dia sekadar berbual-bual dengan Irfan di tepi pantai itu sebagai kawan lama ? Sesungguhnya Riana memerlukan teman bercerita di saat ini, teman yang seperti Irfan. Lalu Riana menggagau telefon di dalam beg tangannya.
"Your call has been forwarded …."
Ahh ! Suara ini. Suara ini yang Riana pasti bukan dirinya saja memusuhi suara ini malah hampir semua orang yang pernah memanggil talian itu. Riana merasai suatu kehampaan dan kehilangan. Di saat dia memerlukan sesuatu maka sesuatu itulah yang tidak ada.
Selang sepuluh minit dia mencuba lagi untuk kali yang kedua. Syukur kepada Tuhan panggilan dijawab selepas tiga kali dering.
"Ha-low." Suara penyayang itu menjawab dengan lembut dan bersahaja. Sungguh. Mendengar suaranya berkata 'hello' pun sudah dapat membayangkan dia seorang penyayang.
"Boy."
"Yana ?"
"Macam mana awak tahu saya Yana ?"
"Telefon ni beritahu."
Riana ketawa kecil. Kalau berbual dengan Irfan mesti ketawa, tidak ketawa sikit dia akan ketawa banyak. Sifatnya yang satu ini juga masih seperti dulu, suka membuat kelakar walau pun kadang-kalanya merapu.
"Belum tidur lagi ?" Tanya Irfan.
"Dah tentulah belum. Kalau dah tidur takkan saya telefon awak ?"
"Emm betul tu. Kenapa tak tidur lagi ?" Suara Irfan kedengaran biasa dan mesra, tidaklah menggelabah seperti ketika berjumpa tadi. Agaknya sudah pulih dari terkejut. Lagi pun perbualan tanpa wajah sememangnya lebih mesra.
"Hei….datang tempat macam ni sekali-sekala, bayar hotel mahal-mahal takkan nak tidur cepat, rugilah."
"Bukankah awak bayar bilik hotel tu sebenarnya untuk tidur ? Tilam tebal, empuk, bilik sejuk…kalau awak tak tidur rugilah."
Riana pula terdiam. Nampaknya perangai usik-mengusik antara mereka masih ada. Dahulu mereka berlumba-lumba mematahkan pendapat lawan yang kadang-kalanya menyakitkan hati walau pun niat asal adalah untuk bergurau. Biasanya Riana yang akan merajuk kalau Irfan bersungguh-sungguh menentang apa yang dikatakannya. Merajuk atau saja buat merajuk, kedua-duanya sekali.
"Awak kat mana ni Boy ? Dah balik Seremban ?"
"Belum. Saya ada kat sini lagi. Kejap lagi baliklah."
"Oh…"
"Kenapa ? Awak kat mana ni ?" Tanya Irfan pula.
"Saya kat tepi pantai, belum naik ke bilik lagi. Kalau boleh, saya…."
"Awak sorang-sorang kat situ ?"
"Ha ah."
"Kenapa ni ? Ada problem ? Kalau tak takkan menung sorang-sorang kat pantai ?"
Riana sayu tiba-tiba dengan soalan itu. Suara lembutnya mengusik perasaan Riana. Kalau diagah sedikit lagi pasti luruh air matanya di situ juga.
"Kalau sudi ceritalah dengan saya. Kitakan masih kawan." Tokok Irfan lagi seterusnya membuatkan Riana semakin sebak. Irfan, kalaulah kau milikku…
"Memang saya nak cerita dengan awak. Saya nak sangat berbual dengan awak." Suara Riana begitu perlahan dan bergetar. Sayu.
"Ceritalah."
Riana diam seketika. Menarik dan kemudian menghembus nafasnya.
"Saya nak jumpa awak malam ni boleh ?" Akhirnya Riana lega dapat menyuarakan hasrat.
Irfan pula diam seketika, mungkin berfikir tentang isterinya di rumah.
"Awak tunggu kejap, saya telefon awak balik okey ? Just a minute."
"Boy please….kalau awak minta kebenaran wife awak adakah dia akan bagi ? Logik sikitlah. Saya cuma nak berbual dengan awak malam ni saja, itu pun tadi tak sengaja terjumpa awak. Lain kali peluang begini takkan datang lagi kan ?"
Irfan menyatakan kesanggupan selepas diam sejenak. Itu memang Riana tahu, yakni kelemahan Irfan terhadap pujuk rayu orang. Sebab itulah Irfan berat hati menjawab panggilan Riana ketika baru-baru mereka berpisah dahulu. Kalau dirayu air mata, pasti Irfan lemah selemahnya dan sudah pasti dia akan kembali ke pangkuan Riana dalam keadaan terpaksa kerana lemah selepas dirayu. Itu yang dia cuba elakkan.
"Hai."
Riana menoleh sebaik terdengar suara itu. Di belakangnya Irfan sedang tersenyum. Riana membalas senyuman itu dengan seribu kelegaan.
"Duduklah. "
Irfan mengambil tempat di sebelah Riana.
Buat seketika mereka terdiam tanpa kata. Masing-masing mencari kunci memulakan perbualan.
"Kata tadi ada benda nak ceritakan dengan saya. Ceritalah." Wajah Riana dipandang tepat dengan pandanganya yang kuyu dan sayu itu. Sekali lagi hati Riana tercuit melihat sinar mata itu yang mengingatkannya kepada Irfannya yang dulu, Irfan miliknya suatu ketika dulu. Kini dan di sini, walau pun Irfan ada di sebelahnya tetapi Irfan ini adalah milik orang lain, tidak sama lagi dengan Irfannya yang dulu.
"Kawan awak mana ?" Tanya Riana sekadar berbasa-basi.
"Faizal ? Ada kat kedai Mael. Diorang tengah main gitar."
"Kawan-kawan awak pun pandai main gitar ya."
"Bolehlah setakat menghiburkan diri sendiri." Jawab Irfan bersahaja sambil tersenyum.
Irfan ini bukanlah dari golongan orang kacak, jauh sekali membuat perempuan terpikat dengan sekali pandang. Bagi perempuan yang tahu, yang rapat dan yang menyelami hatinya saja yang akan merasa bertuah memiliki hati lelaki itu.
"Tak sangka ya kita boleh jumpa malam ni. Saya betul-betul tak sangka." Kata Irfan lagi dengan suara yang perlahan. Riana tersenyum tipis. Saya pun tak sangka, tapi saya ada terfikir…
"Macam mana awak sekarang ? Seronokkah hidup berdua ?" Ujar Riana dengan senyuman. Dia ingin tahu keadaan hidup Irfan selepas beberapa lama mereka berpisah.
"Biasa saja. Cuma bila berkahwin, kita akan rasa hidup lebih bermakna, lebih bertanggungjawab sebab ada orang lain yang kongsi hidup bersama kita dan orang tu kita mesti jaga."
Jadi benarlah sedikit sebanyak perkahwinan mengubah hidup dan pemikiran seseorang. Dari apa yang diucapkan Riana tahu kini Irfan telah dewasa sedikit berbanding dahulu. Serta-merta Riana rasa dirinya telah ketinggalan di samping Irfan.
"Dah ada baby ?"
"Setakat ni belum lagi. Dia pun baru je habis belajar, belum ada masa. Mungkin lepas ni adalah."
"Awak ? Bila lagi ?" Sambung Irfan dengan pertanyaan.
"Bila lagi apa ?"
"Bila lagi nak kahwin ? Tunggu kucing bertanduk ke ?" Gurau Irfan.
"Ada ke kucing bertanduk ? Saya cuma tunggu awak pinang, jadi isteri kedua."
Irfan tersenyum lebar. Entah apalah di fikirannya ketika itu tiada siapa tahu.
"Tak mampulah saya." Balasnya selamba.
"Batin ke zahir ?"
"Batin dan zahir."
Mereka ketawa kecil.
"Yang sebenarnya…"
Irfan tampak memberi perhatian penuh apa yang ingin dikatakan Riana.
"Yang sebenarnya saya dah kahwin."
Irfan tersentak. Setahunya Riana belum berkahwin.
"Bila awak kahwin ?"
"Dah lama, cuma nikah saja belum."
"Huh !" Irfan membuang pandang ke tengah laut semula.
Gurauan Riana itu sesungguhnya mengejutkan dirinya. Benar. Dia tidak pernah menhubungi Riana tetapi jauh di sudut hati Irfan menganggap Riana adalah kawan baik dan kalaulah dia tidak tahu langsung peristiwa penting dalam hidup kawan baiknya, alangkah ketinggalannya dia.
"Kenapa awak tak datang semasa saya kahwin ?" Tanya Irfan mengalih topik. Memang juga dia ingin tahu kenapa Riana tidak sudi hadir ke majlis perkahwinannya setahun yang lalu sedangkan dia tidak lupa menjemput Riana.
Riana membalas dengan senyum mengejek.
Riana ingat lagi suatu hari Fira menelefonnya memberitahu sesuatu.
"Boy hantar kad ke rumah aku."
Bagi Riana itu bukan satu kejutan kerana memang kadang-kadang Irfan ada menelefon Fira, bertanya khabar dirinya dan juga Riana. Kata orang sekadar mengekalkan hubungan agar tidak terputus langsung.
"Kad ucapan hari jadi kau ke ?" Tanya Riana selamba.
"Bukan. Kad jemputan kahwin. "
"Oh…" Hanya itu yang terluah oleh Riana. Dia jadi kecil hati. Sering saja Irfan begini. Pandai menelefon Fira tapi tidak pernah terniat menelefon Riana. Bukankah sejak mereka terputus hubungan cinta Riana dan Fira telah menjadi sama taraf, masing-masing sebagai kawan Irfan. Itu juga yang Irfan lafazkan dulu. Kenapa Irfan selalu ingat Fira tetapi tidak ingat Riana ?
"Dia tak hantar kat aku pun." Riana memberitahu separuh mengadu. Fira kawan baik Riana sejak mula-mula masuk universiti lagi. Fira yang kenal Irfan dulu, kemudian memperkenalkan Riana kepada Irfan sehinggalah mereka bercinta dan setelah hubungan cinta itu putus, Irfan hanya merisik khabar dari Fira, tidak sesekali menelefon Riana sendiri.
"Aku tahu." Balas Fira.
"Sebab itu aku call engkau, nak ajak engkau sekali pergi. Irfan ada call aku minggu lepas, dia suruh aku bawa engkau." Sambung gadis itu lagi. Seorang sahabat yang amat memahami dan mengambil berat terhadap Riana dalam apa jua hal.
"Kenapa dia tak hantar kad sendiri kat aku ? Atau sekurang-kurangnya call aku ?"
"Bukan dia tak nak hantar pada kau tapi dia takut kau fikir lain. Dia takut kau tuduh dia sengaja nak menunjuk yang dia tu nak kahwin dengan orang lain."
"Dia bagitau kau macam tu ?"
"Ya. Sebab tu dia bersungguh suruh aku bawa kau pergi Seremban. Dia memang nak kau datang majlis kahwin dia cuma tak tergamak nak jemput kau secara terus."
Riana mengeluh kecil.
"Kenapa dia mesti fikir macam tu ? Cerita aku dengan dia kan dah lama habis, sekarang dah jadi kawan. Kenapa harus ada perbezaan antara kau dengan aku ?" Rungut Riana tidak puas hati.
"Entahlah. Yang tu kau kena tanya dia sendiri. Nak pergi tak ?"
"Tengoklah dulu Fira, aku tak berani cakap lagi."
Dan sehingga ke sudah Riana tidak berani cakap apa-apa sehinggalah Fira membuat kesimpulan sendiri bahawa Riana tidak mahu pergi. Termasuk Fira pun tidak jadi pergi ke majlis Irfan.
"Kalau kau tak pergi aku pun tak nak pergilah. Seganlah aku nak pergi sorang." Kata Fira sewaktu menelefon Riana untuk bertanyakan hal itu buat yang terakhir kalinya.
"Awak tak ajak saya macamana saya nak pergi majlis awak."
Sekali lagi Irfan berpaling merenung wajah Riana.
"Fira tak bagitau awak ?"
"Awak hantar kad untuk dia seorang. Awak call dia. Saya ? Apa pun tak ada." Kata Riana seperti merajuk sedangkan yang sebenarnya dia pun telah melupakan hal itu. Remie yang sebenarnya menjadi punca kenapa dia tidak menghadiri majlis perkahwinan Irfan.
"Nak sangat tengok orang kahwin, kenapa ? Ke awak masih minat dengan dia, nak kahwin dengan dia ?" Remie meradang bila Riana meminta kebenaran. Remie tahu siapa Irfan, malah setiap lelaki yang pernah menjalin hubungan dengan Riana. Remie yang meminta Riana menceritakan semuanya. Tunjukkan kejujuran, katanya. Dan sememangnya Riana tidak kisah berterus-terang dengan Remie kerana baginya Remielah lelaki terakhir dalam sejarah percintaannya. Riana sendiri mengharapkan kejujuran hatinya dalam perhubungan yang terakhir itu, mudah-mudahan dia tidak mengulangi kesilapan silam.
"La…takkanlah sebab itu. Kan saya wakilkan Fira untuk jemput awak ?"
"Pakai wakil saja ? Yalah saya tahu siapa saya. Awak bimbang kalau saya merayu awak kan ? Nanti tak jadi pulak awak nak kahwin." Sela Riana dalam nada lebih merajuk.
"Bukan macam tu. Aduhhh….macam manalah saya nak cakap."
Irfan melurut rambutnya. Dia benar-benar tersinggung Riana menyangka dirinya yang bukan-bukan. Riana lantas ketawa melihat aksi Irfan begitu.
"Okey. Okey. Kita bukan nak cakap pasal hal ni kan ? Lagi pun dah ia lama berlalu, buat apa nak ungkit lagi." Riana memujuk. Irfan diam tanpa sebarang aksi. Riana pula jadi resah. Kenapa mesti jadi begini di ketika yang tidak sepatutnya.
"Boy…saya minta maaflah. Saya tahu awak jemput saya, cuma saya yang tak boleh pergi. Saya teringin sangat nak tengok awak waktu kahwin. Saya…"
"Ada seseorang tak benarkan awak kan ?" Pintas Irfan. Giliran Riana pula tersentak. Direnung wajah itu dengan seribu kehairanan. Irfan tersenyum sinis.
"Sekarang awak masih bersama diakah ? Dia yang menyebabkan awak lari ke sini, sorang-sorang ?"
"Awak tahu pasal dia ?"
"Tahu. Sikit-sikit…"
"Fira ?" Irfan mengangguk. Rupa-rupanya Fira memberitahu Irfan hal berkenaan Remie.
Riana tidak pernah menyangka Irfan tahu kisahnya sehingga kepada hal sebegini. Sangka Riana Irfan hanya tahu tentang hal yang biasa, di mana dia bekerja, sihat atau tidak, berteman atau tidak, itu saja !
"Siapa namanya ?"
"Remie." Riana menjawab lemah. Malam ini tidak perlu berselindung lagi, biar dia menceritakan semuanya kepada Irfan. Sangkanya tadi dia terpaksa menebalkan muka untuk bercerita kepada Irfan hal-hal peribadinya yang tidak berapa gembira, rupanya Irfan lebih dulu tahu.
"Sejak akhir-akhir ni saya dan Fira selalu berhubung. Dia selalu call saya. Saya pun ada juga call dia." Terang Irfan.
"Kenapa Fira selalu call awak ?"
"Sebab awak. Dia minta saya tolong awak." Jawaban yang ringkas itu menghairankan Riana.
"Tolong saya. Nak tolong apa ? Kenapa mesti awak ?"
"Saya rasa awak sendiri pun tahu jawabannya. Sebab saya berkaitan dengan masalah awak dari mula hubungan kita putus sehinggalah hari ini." Suara Irfan perlahan tapi jelas.
BAB : 5
"Entahlah Yana aku pun tak tahu nak buat apa lagi. Aku tanya juga Boy, tak nak ke balik pada kau semula ? Tapi dia diam je." Keluh Fira seperti kesal. Riana menggeleng.
"Tak payahlah kau tanya-tanya dia lagi. Kalau dia berniat nak balik pada aku semula dah lama dia telefon aku."
Riana berselindung padahal dia amat mengharapkan keadaan itu berlaku, Irfan kembali menjalin hubungan dengannya. Riana masih mengharap dan terlalu mencintai Irfan hingga ke dasar hatinya.
"Tapi aku akan rasa lebih bahagia kalau kau bersama Boy semula. Dulu aku yang kenalkan kau pada Boy, lepas tu korang putus. Aku rasa bersalah. Sekarang kalau boleh aku nak rapatkan korang semula."
"Aku pun nak macam tu Fira. Tapi Boy ? Dia dah tinggalkan aku, tak mungkin dia akan balik pada aku lagi." Kata-kata Riana itu sebenarnya bukanlah ikhlas. Hanya terucap untuk menyedarkan Fira sedangkan hati sendiri pedih dengan kenyataan itu.
"Saya minta sangat-sangat, tolong jaga hubungan kita selagi ada. Kalau dah putus disebabkan salah diri sendiri jangan harap saya akan sambung semula hubungan tu. Saya tak suka bercinta, berputus kemudian sambung semula. Saya tak suka."
Riana masih ingat lagi baris ayat Irfan yang satu itu. Irfan mengucapkannya ketika mula-mula mereka bercinta.
"Habis tu kau nak lupakan dia ke ?" Tanya Fira.
"Mana boleh aku lupakan dia Fira. Aku sayang, aku rindu sangat kat dia. Aku cuma harap masa berlalu cepat, manusia akan berubah seiring masa bukan. Tapi sekarang…aku rindu sangat !" Rintihan Riana membuatkan Fira jadi sayu. Sampai hati kau Irfan…
Benarlah masa itu penawar segala duka. Ia akan membawa pergi segala duka lama kecuali parutnya yang kekal sampai bila-bila. Dalam kerinduannya terhadap Irfan, Riana cuba keluar dengan orang lain bagi membuatkan dirinya lupa akan Irfan. Riana pun tidak mahu menunggu buah yang tidak gugur. Irfan terus menyepi dan membuang terus Riana dari hidupnya.
Bagaimana pun Riana kelihatan gembira dengan perhubungan baru itu, jauh di sudut hatinya masih terkenangkan Irfan. Irfan terlalu kuat melekat dalam sanubarinya. Irfan yang penyayang, Irfan yang pelembut, Irfan yang kelakar, segala-galanya Irfan sehingga Riana terasa amat peritnya ditinggalkan Irfan. Putus cinta yang terdahulu tidaklah dirasakan begini azabnya oleh Riana. Masih lagi dia mempunyai semangat untuk bercinta kedua kali.
Tetapi kali ini, sesudah ditinggalkan Irfan Riana rasa amat sakit. Baginya tidak perlu lagi mengharapkan sesuatu dalam perhubungan kerana belum pasti apa yang diharapkan tercapai. Riana tidak pernah lagi mengharapkan apa-apa, kerana dia takut harapan yang hancur akan menghancurkan hatinya juga seperti yang dialami bersama Irfan.
Kerana itu, setiap lelaki yang menghulur salam cinta Riana sambut tetapi dengan hati tertutup. Riana cuma mempergunakan lelaki lain untuk membuatkannya melupakan Irfan. Dan pastinya, dia tidak pernah serius dalam perhubungan itu. Selepas Irfan, Imran datang mengisi kekosongan. Riana terima biarpun hati terlalu merindui Irfan. Sehingga ada kalanya Imran merajuk kerana Riana sering menyebut nama Irfan. Dua bulan selepas menerima cinta Imran, Shidi pula hadir juga membawa cinta. Pun Riana terima sedangkan Imran benar-benar percaya Riana kasihkan dirinya. Di sana Imran, di sini Shidi. Riana layan kedua-dua.
"Tak elok Yana kau buat macam ni. Aku tahu kau masih sayang Boy tapi kau sendiri cakap dia tak mungkin balik pada kau kan. Jangan aniaya orang lain sebab masalah kita sendiri." Rasa Fira itu ayat paling baik untuk dia lontarkan pada Riana petang itu. Itu pun sejak semalam lagi dia asyik menggubah kata nasihat yang sesuai buat Riana. Kalau tersalah cakap dia bimbang Riana kecil hati sedangkan hatinya sendiri membengkak melihat keadaan Riana begitu.
"Kau kawan baik aku. Aku tak sanggup tengok kau macam ni. Fikirlah Riana. Kita ni perempuan mana boleh pilih dua-dua ?"
Riana ketawa besar. Fira berfikir terlalu jauh.
"Siapa nak pilih dua-dua kak oi. Aku cuma berkawan. Sejak ada Shidi dah kurang sikit aku ingat kat Boy."
"Itu aku tahu, tapi di pihak diorang macam mana. Tengok Imran, dia berada jauh di Perak tapi dia percayakan kau di sini. Shidi pulak…dia tak tahu kau ada Imran, dia ingat kau betul-betul sukakan dia. Kesian diorang Yana."
"Cuba kau renung betul-betul. Kau pilih salah seorang yang terbaik, Shidi atau Imran terpulang pada kau." Cadang Fira pula setelah memberi nasihat. Riana tersenyum bersahaja.
"Kau kan tahu Fira aku sangat takut kalau kecewa lagi. Aku malaslah nak fikir hal serius lagi. Macam ni kan lebih senang. Kalau aku merajuk dengan Shidi, aku boleh bermanja dengan Imran. Kalau aku marah Imran, aku boleh cari Shidi. Bukankah untung."
Fira senyum pahit. Iyalah tu Yana…
"Tapi sampai bila ? Kena fikirkan masa depan juga. Entahlah Yana, aku tak boleh cakap lebih-lebih sebab aku sendiri belum pernah bercinta, tapi kau sendiri fikirlah…tak elok buat macam tu."
Gusar hati Fira dipandang sepi oleh Riana. Sehingga satu hari Imran meminta penjelasan Riana, dengan siapa Riana selalu keluar sehingga lewat malam ? Siapa beritahu Imran ? Riana rasa curiga tapi didiamkan saja. Dengan Imran dia berjanji akan berubah.
"Tak buat lagi."
Tapi itu hanya kata di mulut. Riana tega mencurangi Imran tanpa belas kasihan. Semakin lama semakin Riana suka membuang waktu bersama Shidi. Akhirnya, bangkai gajah terserlah jua. Imran menyepikan diri terus. Tanpa panggilan, tanpa SMS sehingga Riana sendiri meminta sebab.
"Apa yang awak janji dengan saya dan apa yang awak buat, awak sendiri fikirkan." Kata Imran.
Baiklah. Kalau itu yang terjadi biarkan. Sedikit pun Riana tidak ralat kehilangan Imran. Patah tumbuh hilang berganti. Datang pula Asry. Riana semakin seronok, semakin ligat. Ada tempat bermanja, tempat mencurah kasih menjadikan Riana semakin hilang nilai-nilai kesetiaan sebuah perhubungan. Shidi dan Asry menjadi mangsa kekejaman sekeping hati yang berparut luka.
"Boy ! Sebab kau dia jadi macam tu. Kau yang bertanggungjawab !"
Irfan mengeluh di hujung talian.
"Habis kau nak aku buat macam mana ? Cuba cakap."
"Dia sayang sangat pada kau. Tak ruginya kalau kau balik ke pangkuan dia. Selama ni dia memang tunggu kau."
"Perkara macam ni tak boleh dipaksa Fira. Ada sebab aku putuskan hubungan, aku bukannya jantan romeo nak main-mainkan perempuan."
"Aku bukan kata kau jantan romeo, aku cuma bagi cadangan je."
"Tapi aku tak boleh terima cadangan kau. Memang aku tak boleh teruskan dengan Yana lagi, kalau tidak buat apa aku putuskan dulu."
Fira mati akal. Irfan dan Riana punya hak masing-masing yang tidak boleh dicampuri pihak ketiga sepertinya. Meminta Riana menghentikan perangainya, dia akan dituduh penyibuk. Memaksa Irfan menerima Riana, mencari nahas namanya.
Sudahnya Fira hanya menjadi pemerhati.
Lama Fira membutakan mata dengan tingkah-laku sahabatnya yang keterlaluan sehinggalah baru-baru ini dia mendapat tahu Riana bermasalah dengan Remie kekasihnya yang entah ke berapa. Imran, Shidi, Asry dan entah siapa-siapa lagi dicampak sesuka hati. Sebagai sahabat yang paling rapat tentu saja Riana tidak dapat menyembunyikan permasalahannya daripada Fira. Jauh mana pun mereka, Riana di Kuala Lumpur dan Fira di Melaka namun Fira juga yang dicari Riana. Fira juga tempatnya mengadu kesesakan jiwa.
Fira turut menjadi buntu dengan masalah Riana. Simpati terhadap sahabat melimpah-ruah. Apatah lagi keadaan Riana kini terlalu rumit. Dia perlu menyelamatkan Riana. Riana sudah terlalu jauh menyimpang dari landasan. Kasihan sahabatku…Di saat dia ingin membina kebahagiaan hakiki, dugaan pula mendatang. Fira percaya ini juga pembalasan daripada perbuatan Riana yang lalu, yang terlalu tega menghancurkan hati orang lain. Kini orang yang benar disayangi berdolak-dalik, apakah Remie sekadar mendirikan pondok buat persinggahan ? Riana....kiranya engkau hanyalah sebuah pondok usang sahabatku !
"Kau rasa apa cara kita boleh tolong Yana ?" Irfan juga buntu. Seakan terbang separuh jiwanya apabila mendengar pengaduan Fira. Tidak rela rasanya membiarkan hidup Riana dihancurkan berkecai-kecai. Apatah lagi dirinya dikaitkan dalam hal itu walaupun Irfan merasakan dia bukanlah penyebab utama.
"Aku tak tahu. Aku risau kalau Remie nak mainkan dia je." Luahan Fira bertali arus. Celaru fikirannya membawa dia ke Seremban menemui Irfan yang kebetulan pulang ke kampung. Duduk semeja dengan Irfan meringankan bebanan masalahnya memikirkan Riana. Walaupun Irfan kini telah berkahwin Fira merasakan tiada salah kalau dia berkongsi masalah Riana bersama Irfan.
"Tak boleh ke kita suruh Yana tinggalkan saja lelaki tu ?" Irfan jadi geram mengenangkan Remie. Kenapalah wujud lelaki yang berhati batu seperti Remie. Tapi kau pun bersalah Yana ! Irfan kesal Riana terseret ke masalah serumit ini.
"Yana tak mahu tinggalkan Remie. Dia dah buat dosa banyak dengan Remie, dia nak kahwin Remie."
"Tapi kita tak tahu Remie macam mana. Kalau Remie tak berniat nak kahwin Yana, macam mana pula tu ?"
Kedua-duanya tidak menemui jawaban. Fira pulang dengan masalah yang belum selesai. Jangan kata selesai, jalan untuk menyuraikannya pun tidak ada.
Dalam hati Fira hanya mampu berdoa dan berharap. Semoga Remie tidak seburuk yang disangka. Semoga Remie sedar akan cinta Riana dan mengahwini Riana secepat mungkin.
'Berilah hidayah kepada sahabatku Tuhan...lindungilah sahabatku....'
0 comments:
Post a Comment