Wednesday, August 27, 2008

SeSuCi HaTi IsTeriKu (Bab 11-Bab 15)

BAB : 11

~Di kanan madu di kiri gula

Kumbang tersesat di tengah laman~

Remie tersentak keras. Perlahan-lahan dibuka matanya. Mengamati jarum jam di dinding, dia terbingkas bangun. Sudah jam sepuluh tiga puluh pagi. Nasiblah kerana mimpi dia terjaga. Jika tidak entah berapa lama lagi akan tidur di situ.

Di sisi, Elly masih tidur dengan wajah yang begitu tenang sekali. Direnung sekujur wajah putih bersih itu. Wajah itu memang cantik. Remie merasa bertuah gadis secantik itu sudi menagih kasih darinya biar pun hubungan mereka kini terpaksa bersorok-sorok. Andai diketahui mama dan papa hubungan terlarang ini, Remie tidak pasti apa yang akan terjadi seterusnya.

Dia secara rasminya dimiliki Riana berteraskan akad, tetapi hati ini lebih dulu dicuri Elly secara mutlak. Riana dan Elly, dua wanita yang berbeza dari segi penampilan dan tingkah laku tetapi mempunyai satu persamaan. Mereka masing-masing punyai hati yang terlalu menyintai dirinya.

Riana ! Sudah dua hari dia tidak melihat wajah comel itu. Pagi Jumaat yang lalu dia keluar dari rumah tergesa-gesa tanpa menjeling pun hidangan sarapan yang disediakan Riana. Usai waktu kerja dia langsung menuju ke apartmen Elly. Begitu juga semalam dan seterusnya pagi ini dia masih lagi berada di rumah Elly.

Pasti Riana tertunggu-tunggu, pasti Riana tertanya-tanya ke mana dia menghilang. Namun Riana tidak pernah menunjuk perasaan dengan keadaan itu. Cuma bertanya dengan wajah yang teragak-agak, dan kalau Remie cuma mendiamkan diri, dia akan turut diam.

Remie pasti Riana sedang makan hati. Tetapi apalah dayanya. Dia tidak mampu menyenangkan dua hati serentak. Meninggalkan Elly ? Tidak mungkin. Hubungan mereka terjalin sudah lama. Lagi pun semalam Elly baru membawanya berjumpa Roslan, bapa saudaranya yang merupakan orang penting dalam pengurusan sebuah syarikat pengendali taman hiburan terkemuka di negara ini.

Lelaki botak itu nyata begitu seronok bertemu Remie dan menjanjikan peluang perniagaan yang sering dinantikannya. Andai syarikatnya gagal mendapatkan kontrak bersama jabatan kerajaan yang sedang diusahakan ini, Roslan berjanji akan menyediakan laluan mudah untuknya mendapatkan kontrak perniagaan bersama syarikatnya pula.

Remie begitu teruja. Masakan peluang perniagaan bernilai jutaan ringgit itu mahu dilepaskan. Tetapi, bila saja orang tua itu mula menyentuh tentang hubungannya dengan Elly, Remie kecut perut. Terasakan bagai peluang itu ditarik semula.

"Uncle tengok Mie dah lama kawan dengan Elly. Bila nak ditetapkan hubungan tu... tak elok hubungan tanpa komitmen."

Remie diam tidak terkutik. Gugup dan gementar. Kalaulah orang ini tahu yang dia sudah menikahi perempuan lain, bagaimanalah agaknya. Mujur saja ruang makan restoran itu agak samar.

"Alah uncle, apa yang nak dirisaukan. Kita dah kawan lama, dan selama ni ... Remie tak pernah pun curang pada Elly. Betul tak honey ?" Elly mengenyit mata. Ah, gurauan dalam sindiran atau sindiran dalam gurauan?

Apa pun, dia harus berterima kasih kepada gadis ini. Elly telah melakukan pengorbanan. Biar pun terpaksa makan hati, tetapi Elly tetap ingin meneruskan hubungan ini. Dan, rahsia pernikahan Remie dan Riana langsung tidak dikhabarkan kepada keluarganya. Remie sedar akan natijah yang menanti kalau keluarga Elly mendapat tahu tentang kecurangannya terhadap anak perempuan mereka.

Bapa Elly, pemimpin kawasan berpangkat datuk. Abang sulungnya pula pemilik rangkaian pusat bina badan. Dan orang tua yang berkepala botak ini, pasti mengambil tindakan drastik jika rahsia itu terbongkar.

Remie melepaskan keluhan kecil. Kekusutan yang wujud ini adalah berpunca darinya. Dia yang dulunya tidak memikirkan kemungkinan yang bakal berlaku sewaktu mula-mula mendampingi Riana, hampir tiga tahun lalu.

Segera Remie mengenakan pakaiannya dan senyap-senyap menyelinap keluar dari apartmen Elly. Dia tidak boleh menunggu sehingga Elly terjaga kelak perempuan itu akan merayunya untuk terus tinggal di situ. Dia tidak suka dirayu dan tidak suka membiarkan dirinya terasa seperti dikongkong. Andai dirayu sekali dia masih boleh menepis, tetapi andai Elly berulang-ulang kali merayu, dia akan terasa rimas dan tidak dapat mengelak untuk tidak bercakap kasar kemudiannya. Biarlah dia mengelak daripada keadaan itu dan biarlah dia terus menjaga hati Elly selagi terdaya.

***************************************************************************

Lagu cinta Good Bye dari Air Supply berkumandang menyambut ketibaan Remie di kondo. Setiap ruang di rumah itu terletak kemas dan berbau harum bunga-bungaan. Pasti isterinya sudah bangun dari awal pagi mengemas rumah dan menyembur pewangi ke seluruh rumah. Itu sifat azali Riana yang dia paling suka.

Wanita itu sungguh jitu kalau soal kebersihan dan kekemasan.

Tetapi ke mana dia ? Remie tercari-cari. Matanya tertancap ke jambangan ros segar di tepi almari solek. Berjiwa romantik memang menghabiskan duit ! Setiap tiga hari Riana akan menukar jambangan bunga hidup itu, kalau dikirakan duit yang terbuang, huh !

Dia menjengah ke beranda. Ah, itu dia. Lama dia memerhatikan Riana yang sedang leka bermain dengan dua ekor hamsternya. Saat itu Riana kelihatan bagaikan seorang anak kecil. Dengan hanya berseluar pendek sendat dan camisole putih bertali halus, rambutnya yang panjang berjuraian bebas di atas bahu, comel sekali Riana. Bercakap-cakap pula dengan hamsternya. Remie tersenyum lucu.

Saat itu Riana berpaling ke belakang. Terkejut dia melihat Remie tiba-tiba berdiri di situ entah sudah berapa lama.

"Awak."

Riana merapat lalu meraih tangan kanan Remie dan mengucupnya. Tanpa menunggu sebarang reaksi dia terus berlalu masuk. Remie mengekori. Meski pun Riana tersenyum tetapi dia dapat melihat mendung di wajah itu. Sejak akhir-akhir ini Riana semakin kurang mesra. Marahkah dia ?

"Hari ni rancang nak buat apa ?" Remie melabuh punggung di atas sofa. Ketika Riana menjauh sedikit barulah dia teringat yang dia masih belum mandi.

"Mama called. Ajak makan kat rumah." Jawab Riana perlahan.

"Ya ? Bila mama call ?"

"Pagi tadi."

Benarlah Riana sedang memendam sesuatu. Ketika berbicara dia tidak bertentang mata dan hanya menjawab sepatah dua. Buat-buat sibuk pula, membelek majalah, menukar siaran TV sesuka hati. Biasa Riana tidak begini.

"Awak siaplah, kita pergi rumah mama. Saya mandi dulu."

Remie bangun menuju ke kamar mandi. Entah mengapa kali ini dia tidak upaya mengembalikan keceriaan Riana. Selalunya Riana yang terpaksa mengikut moodnya. Kalau dia marah, Riana tidak berani menegur atau bertanya apa-apa melainkan dia yang memulakan dulu. Kalau dia murung, Riana akan menunggu sehingga murungnya berkurangan barulah mengajak berbual hal yang menyenangkan. Kalau dia gembira, Riana terlebih-lebih lagi gembira. Ketika itulah baru Riana berani bertanya itu ini, bergurau dan bermanja.

Sebaliknya pula di pihak Remie. Tanpa mengira mood Riana, dia akan bergurau apa saja kalau dia mahu. Dia akan meminta dilayani bila-bila masa dia suka. Dan Riana sememangnya telah berjaya melatih diri sendiri menjadi isteri yang baik. Sentiasa cuba menurut fiil suami.

Kali ini, Riana bermain perasaan. Dan Remie turut terpalit. Memang salahnya yang membuat Riana jadi begitu.

*******************************************************************************

"Kak long!"

Nana dan Nini menerpa sebaik terdengar bunyi kereta berhenti di luar rumah. Kedua-dua gadis comel itu segera memeluk dan mencium pipi kakak ipar mereka sebaik saja Riana melangkah ke dalam rumah.

"Aii ? Sambut kak long aje, abang long ni siapa nak sambut pulak ?" Ujar Remie yang menyusul di belakang.

"Uwek!"

Nana dan Nini serentak menjelirkan lidah kepada abang mereka. Riana hanya ketawa melihat gelagat dara kembar itu. Nakalnya bukan main mengusik si abang tetapi sangat manja dengan kakak ipar.

"Kak long, apasal lama tak datang ? Kitaorang rindu tau dengan kak long. Along tu tak datang pun tak apa, tapi kak long kenalah datang sini tiap-tiap minggu. Tu, kat dapur mama dah masak macam-macam untuk kak long."rengek Nini sambil memeluk lengan kiri Riana. Nana pula di sebelah kanan menyiakan kata-kata si kakak.

Riana geli hati melihat mereka. Kedua-duanya agak berisi dan berkulit putih gebu, sangat comel melihat mereka bermanja-manja begitu.

"Along sibuk, selalu ada kerja hujung minggu jadi macam mana nak datang."

"Ala, kak long datang sorang la... tak payah tunggu along tu. Bukannya tak ada kereta."balas Nana dengan wajah berkerut. Tertawa Riana dibuatnya.

"Mana boleh macam tu."

"Apa khabar papa ?" Riana tunduk mencium tangan Ahmad Zaki yang sedang tekun membaca surat khabar. Orang tua itu tersenyum mesra dan mengangguk. Dia boleh dikatakan pendiam kalau dibandingkan dengan isterinya Zaharah yang sangat peramah dan kuat bercerita.

Riana menjengah ke dapur diiringi Nana dan Nini di kiri dan kanannya.

"Mama masak apa ?"

Zaharah yang sedang sibuk mengacau periuk berpaling dan tersenyum manis.

"Yana. Dah sampai pun. Mama masak banyak hari ni, semua favorite Yana dan along."

Riana mencium bau sup tulang yang sedang menggelegak. Wah, tiba-tiba terasa lapar. Mama memang pandai memasak. Walaupun sibuk dengan urusan butiknya, tapi soal keluarga tetap nombor satu.

Riana kagum dengan emak mentuanya ini. Kelihatan ranggi dan moden, tetapi jiwanya kaya dengan nilai-nilai kekeluargaan. Setiap hari selepas memastikan rumahtangga terurus barulah keluar ke butik. Walaupun mempunyai pembantu rumah, mama akan memasak sendiri untuk suami dan anak-anak. Riana sendiri tidak pasti adakah dia boleh melakukan sebaik itu kalau mempunyai perniagaan sendiri seperti mama.

"Nana dan Nini pergi siapkan meja kat depan, mama dan kak long nak hidangkan lauk-lauk ni."arah mama pada dua orang anak dara suntinya. Mereka patuh sambil mulut tidak senyap bergurau sesama sendiri. Mama mencuit Riana supaya rapat kepadanya selepas Nana dan Nini berlalu.

"Along kat rumah macam mana Yana ?"

Terkerut kening Riana. Apa maksud mama ?

"Macam mana apa pulak ma ?"tanyanya.

Zaharah sibuk mengelap pinggan.

"Mama bukan apa, mama kenal anak mama tu. Along tu kalau dah kerja tak ingat dunia. Mama risau kalau dia terlalu sibuk dengan projek-projeknya sampai lupakan rumahtangga."

"Oh,"

Lega Riana. Dia sangkakan mama akan bertanya hal lain yang memang paling ditakutinya kalau diketahui mama.

Dia paling risau kalau Zaharah dapat menangkap aroma ketidakharmonian dalam rumahtangganya. Memang sukar menghadapi kenyataan itu tetapi biarlah dia mengharunginya seorang diri. Mama, papa, atau ibu dan ayahnya sendiri pun tidak perlu tahu.

Sudah cukuplah menanggung derita sebelum berkahwin, Riana tidak mahu kelak dia dituduh isteri yang tidak betah menjaga suami sendiri.

Tetapi tinggal dalam kawasan yang sama memungkinkan mama menghidu ketidakserasian itu. Mama orang berniaga, ramai kawan dari golongan korporat dan pengusaha salon dan butik sepertinya.

Mungkinkah mama pernah melihat dia selalu berjalan berseorangan tanpa ditemani Remie ? Kalau berteman pun cumalah teman baiknya Mimi. Kalau bukan mama sendiri pun, mungkin kawan-kawan mama yang ramai itu, yang berada di mana-mana. Paling dia risau kalau perangai Remie yang suka berkepit dengan kekasih itu yang menjadi tontonan orang, lambat laun akan sampai ke telinga mama. Rimasnya.

Cukuplah matanya sendiri yang sakit melihat Remie makan berdua dengan seorang perempuan seksi di Bangi minggu lepas. Patutlah jarang mahu makan di rumah, rupanya makan bertemankan bidadari. Selepas makan, mungkin terus ke rumah perempuan itu dan bermalam di sana.

Sakitnya hati ! Boleh meraung sakit jiwa dibuatnya kalau mengenangkan Remie. Kerana itu dia diamkan saja. Kalau kecoh-kecoh pun tak guna, Remie akan buat tidak tahu macam lembu bodoh. Akhirnya hanya Riana yang sakit hati sendiri.

Sejak hari itu dia tidak mampu memandang ke mata Remie. Sakit hati dan sakit mata. Terbayang-bayang gandingan mereka yang kelihatan cukup serasi. Biar pun Remie tidak menyorongkan kerusi untuk perempuan itu, atau berbual sambil memandang tepat ke anak mata masing-masing, tetapi dia dapat merasakan antara dua makhluk itu memang telah 'ada apa-apa'.

Selesai menyantap hidangan tengahari mama membangkitkan soal anak. Riana tidak tahu sama ada ini bala atau kemujuran buatnya. Dia sendiri memang tidak pernah berpeluang untuk mengunjurkan hal itu kepada Remie. Remie pula bagai tidak pernah menyedari yang kini mereka berkebolehan untuk mengadakan zuriat.

"Kerja, kerja jugak along... tapi keluarga kena jaga. Kenapa tak fikir pasal anak, dah setahun kahwin. Kumpul harta banyak-banyak nanti nak campak ke mana kalau bukan ke anak."

Tersedak Remie dengan kopinya. Sekujur wajah manis mamanya direnung.

"Kenapa ma? Tiba-tiba je cakap pasal anak ?"

Riana hanya menjadi pemerhati. Dia faham maksud mama. Bukan mama ragu dengan keupayaannya untuk melahirkan zuriat, sekadar memperingatkan Remie yang alpa. Mama pernah menasihatkan Riana berkali-kali, bersabar apa saja karenah Remie kerana sememangnya Remie lelaki yang pelik. Nampaknya mama cukup memahami anak lelakinya yang seorang itu.

"Betul juga kata mama. Dah setahun kita kahwin, patutnya kita fikirkan pasal anak sekarang."

Namun begitulah Remie. Kalau sesuatu yang tidak menjadi minatnya dia akan buat tidak reti dan tidak faham sehingga Riana malas melanjutkannya lagi. Manusia bagaimanakah Remie ini ? Sampai bila-bila pun dia tidak akan dapat memahami lelaki yang satu ini.

Yang ada di kotak fikirannya hanyalah kerja, kerja, kerja. Untuk siapa dia bekerja sekeras itu, tiada siapa yang tahu. Riana sungguh-sunguh terasa hati. Tidak pernahkah Remie terfikir untuk berbuat sesuatu terhadap rumahtangganya ? Atau setidak-tidaknya membeli sejambak bunga untuk isteri sebagai tanda maaf tidak mampu pulang awal saban hari.

Igauan kosong ! Remie tidak akan pernah melakukan itu.

BAB : 12

~Datangku tidak berjemput
Pergiku tidak berhalang~

Sekujur wajah di hadapannya direnung dengan seribu macam perasaan. Rambut berombak keperangan separas bahu, bentuk muka sempurna yang terhasil dari campuran dua bangsa dua benua, sepasang mata besar yang galak dan dua ulas bibir yang begitu menawan kala tersenyum atau tidak.

Segalanya begitu sempurna. Rupa-rupanya wajah secantik ini yang ditatap Remie saban malam sehingga tidak lalu memandang isteri isteri sendiri. Siapalah dia untuk dibandingkan dengan gadis ini. Terlalu ketara perbezaan mereka. Dia hanyalah seorang wanita Melayu biasa yang hanya berani mengenakan seluar pendek di rumah sendiri sedangkan gadis ini kelihatan begitu yakin dengan penampilan seksinya tanpa menghiraukan pandangan orang di sekeliling.

"So what's up ? Hemm...?"
Ada satu kekurangan pada gadis ini. Sinar matanya membayangkan dia seorang yang angkuh. Atau memang begini caranya menghadapi seseorang yang dianggap musuh.

"Pasal Remie. Dia suami saya."
Tiada apa-apa riak perubahan di wajah Elly. Malah dengan wajah angkuh membelek kuku panjangnya yang diwarna keemasan. Ah ! Apa sudah jadi dengan Remie. Bukankah dia geli dengan benda-benda kotor. Bukankah berkuku panjang itu menjijikkan baginya.

"I know."jawabnya pendek.
Riana menahan nafas. Dirinya dicabar terang-terangan sehingga dia sendiri takut kalau-kalau diri terhilang sabar menghadapi karenah Elly. Dia yang menginginkan pertemuan ini, biarlah dia pulang dengan kemenangan, bukan dengan sesuatu yang memalukan.

"Dah lama I tunggu you datang cari I tapi baru sekarang you muncul. Kenapa you ambil masa begitu lama Riana ? You takut nak jumpa I ?"



"You..." Riana terhenti. Dia ingin mengucapkan 'you're such a *****' tetapi akalnya melarang. Dadanya berombak kencang. Perempuan ini !

"You rampas suami I dan you tunggu I datang cari you ? Game apa ini ?"
Bibir Elly yang nipis itu mengorak senyum sinis.

"Siapa yang rampas hak siapa Riana. You janganlah sebut pasal rampas sebab you akan kalah. Remie hak I, dah sepuluh tahun."

"Sepuluh tahun. Habis tu kenapa Remie tak kahwin dengan you, kenapa dia kahwin dengan I ?" Riana senyum sinis. Remie miliknya sepuluh tahun ? Perempuan gila !

"Heh!" Gadis itu mencemik dengan jengkel sekali. Kemudian tertawa kecil.
"Look at you pity dog! You're so naïve…" Jari runcingnya menuding ke muka Riana dengan mata yang sengaja dikecilkan. Perkataannya ditekan jelas. Riana pula yang terbeliak biji mata mendengar kata-kata dari mulut Elly. Dia terpana tanpa kata-kata. Seluruh tubuh mula menggeletar.

"Kalau you nak tahu, I….dengan Remie dah bersama sejak sepuluh tahun lalu. Sebelum you mula pegang tangan dia, I dah tidur dengan dia lama. You tahu kenapa Remie bersama you Riana ?" tanya Elly lunak sambil jemarinya menggentel tisu sehingga hancur lumat. Diulang-ulangnya perbuatan itu sehingga bersepah cebisan tisu di hadapannya.

"Macam tisu ni, diguna dan dibuang. You tak ubah macam tisu ni Riana ! I tak hairan kalau Remie cari you, sebab I was abroad empat tahun. Dia lelaki, tentu cari tempat persinggahan."

Tisu ? Tempat persinggahan ? Riana terhenyak. Bolehkah dia percaya kata-kata perempuan ini. Kolam mata terasa panas. Sabarlah hati, jangan menangis di depan dia!

"You jangan nak reka cerita. Kalau Remie anggap I macam tisu, kenapa dia nak kahwin dengan I, bukan you?" Riana cuba bertenang tetapi gagal. Suara kedengaran bergetar. Kata-kata beracun Elly lebih dulu menikam tajam ke dasar hati menandingi akal waras yang telah sekian lama diajar agar tidak mudah terpedaya kata-kata lawannya ini.

Elly ketawa lagi. Wajahnya memaparkan kemenangan dan keegoan tidak terbanding. Apatah lagi bila melihat wajah Riana memerah dan ada air bergenang di takung mata itu.

"Ok, I mengaku that was my biggest mistake. I yang buatkan Remie marah. Sepatutnya I terus balik bila habis study, sebab kami janji nak kahwin. Tapi tiba-tiba I terfikir nak kerja kat London. Remie tak benarkan, tapi I degil. Dia jadi marah. You pun tahu kan, kadang-kadang dia buat keputusan tergesa-gesa ikut kepala anginnya, sebab itu dia terus kahwin you."

"Tapi itu tak bermakna dia lupakan I. I pun tak boleh hidup tanpa dia. So I fikir buat apa tinggal sana kalau hidup tak bahagia. I balik cari Remie and now, here we are…still together. You mean nothing to him!"

Tenang seklai Elly menuturkan kata-kata yang bagi Riana bagaikan peluru menikam tajam ke seluruh panca inderanya. Dia tidak mampu bersuara walau sepatah kata. Bagaikan terpukau, Riana hanya mampu menatap sepasang mata Elly yang bersinar tanda kemenangan.

Sehingga gadis itu berlalu meninggalkannya berseorangan di sudut restoran ternama itu, Riana masih kaku tertunduk merenung meja. Ucapan terakhir yang dibisikkan Elly terngiang-ngiang, berulang-ulang di ruang memori. Hangat dan merengsakan.

"I harap you dah sedar. Buka mata you luas-luas, fikirkan di mana sepatutnya tempat you. Sekali dalam hidup you, buatlah keputusan paling bijak. This is for your own sake."

Hatinya remuk redam. Dia sangka dia akan menang di pertemuan ni rupanya tidak. Btapa sekian lama dia buta mata dan buta hati oleh cinta palsu Remie. Bagai kucing kurap yang tersesat di tengah laman cuba diusir keluar kerana kehadirannya menjelekkan. Sudah nyata Elly mahu dia mengundurkan diri dari hubungan tiga penjuru itu.

Pulang ke kondo, hatinya lebih hancur. Perasaan merusuh tanpa dapat ditahan-tahan tatkala terpandang katil beradu. Di situ menjadi medan pergaulan haram antara dia dan Remie selama dua tahun. Dia telah menyerahkan segala rasa kasih dan cinta tanpa menyedari diri hanyalah alat pemuas nafsu lelaki itu.

Kemudian, setelah hampir setahun perhubungan dihalalkan, di saat Riana dengan rendah hati meletakkan diri di hujung ranjang seorang suami, tubuh yang dulunya dipandang ghairah kini sering terlantar sepi menanti kehangatan belaian cinta Remie. Remie telah kembali kepada cintanya sehingga rela mengabaikan Riana yang telah diangkat martabatnya sebagai isteri entah di atas dasar apa selain daripada jodoh!

Betapa kejam seorang manusia bernama Zuraimi. Bertindak sesuka hati bagai orang lain tidak punya hati dan perasaan. Sedarkah dia telah menghancurkan sebuah kehidupan ? Benar seperti kata Elly, Riana patut memikirkan letak duduk dirinya di sisi Remie. Mungkin sudah sampai masanya burung meninggalkan belakang kerbau. Sudah masanya Riana meninggalkan Remie !

Sebulat kata hati, Riana pantas meragut baju-baju yang bergantungan di dalam almari dan di ampaian lalu disumbat ke dalam beg yang ternganga luas.

**********************************************************

Beberapa kali stereng dihentak keras. Sumpah seranah tidak terkirakan lagi butir bicaranya. Segala macam perkataan tidak elok terkeluar entah ditujukan kepada siapa. Hon pula bertalu-talu ditekan namun kenderaan yang bertali arus tidak juga kurang. Berasak-asak, bersesak-sesak. Pergerakan kura-kura lebih laju dari ini !

Remie meneliti tapak tangannya sendiri. Tapak tangan ini yang telah menampar wajah cantik Elly sebentar tadi. Dia sendiri terkejut. Memang sifatnya kasar dan ego tetapi tidak pernah terlintas menggunakan tangan ini untuk menyakiti seorang wanita. Diserbu marah dan kesal dia hanya mampu memandang Elly tersedu dan menyumpah seranah dirinya. Tiada satu perkataan maaf pun terkeluar dari bibir Remie.

Dengan perasaan bercelaru dia melangkah keluar dari apartmen Elly. Dia perlu menemui Riana secepat mungkin sebelum sesuatu yang tidak diingini terjadi.
Menjelang jam lapan empat puluh minit baru dia sampai di perkarangan kondominium Sri Bayu. Kecelaruannya sedikit tenang melihat kereta Riana terletak elok di tempat biasa.

Pantas kaki diayun ke tingkat satu. Sebaik pintu dibuka, dia mendapati rumah itu sunyi dan suram. Lagu-lagu cinta kegemaran Riana tidak kedengaran. TV besar diam kaku tidak berfungsi. Remie menerpa ke bilik tidur utama.

Di situ dia terperangah melihat dua buah beg besar siap berkemas di hadapan almari. Riana yang sedang berteleku di pinggir katil tersentak dan berpaling. Wajahnya sembab, matanya merah berair. Tanpa membuang masa dia bingkas mencapai tas tangan dan beg pakaian lalu bersedia untuk keluar dari bilik itu ,
Remie menghadang di muka pintu. Pergelangan tangan Riana dicapai dan dileraikan beg yang sedang dipegang Riana.



"Awak nak ke mana ?"
Riana diam tertunduk. Sedu-sedan yang tadinya reda kini kembali.

"Yana saya tanya ni. Awak nak ke mana dengan beg-beg ni ?" Suara Remie keras. Bahu Riana dicengkam kemas.

"Saya nak keluar. Jangan halang saya…"
"Nak keluar nak ke mana ? Awak nak tinggalkan rumah ni?"potong Remie tidak sabar. Wajah Riana didongakkan menentang pandangannya. Riana pantas menepis dan berundur beberapa langkah. Dia tidak mahu menatap mata Remie. Dia tidak ingin termakan pujuk rayu Remie kali ini.Sudah cukuplah penipuan Remie.

"Yana…"seru Remie dengan suara kendur. Wajahnya sudah tidak setegang tadi. Riana dirapati tetapi isterinya itu cepat-cepat beralih ke beranda.

"Biarkan saya keluar. Saya tak boleh hidup di rumah ni lagi. Cukuplah tiga tahun saya menumpang…" Riana bersuara lirih. Dia benar-benar ingin pergi biar pun tidak pasti ke mana hendak dituju.

Remie mendengus kuat. Menumpang! Apa yang direpekkan Riana ?
"Apa yang Elly cakap pada awak ? Yana….?" tanya Remie dengan suara yang cukup lembut. Riana yang berdiri di hujung beranda dihampiri.

Angin malam bertiup dingin menerbangkan tirai putih panjang yang menabiri pintu gelungsur pemisah bilik tidur dan beranda. Begitu juga baju longgar dan selendang panjang yang dipakai Riana terbuai-buai ditiup angin. Kedinginan malam memberi petanda akan hujan, tetapi hujan di hati Riana dirasakan lebih dingin.

Perasaan Remie tiba-tiba terusik. Sudah lama Riana tidak merajuk. Riana tiada sebab dan tiada peluang untuk merajuk. Siapa yang mahu memujuk ! Keegoannya pantang memberi ruang untuk perempuan mengada-ngada. Riana mahu pun Elly masing-masing cukup faham sifatnya yang satu itu. Tetapi kerana cinta kedua-dua wanita itu rela memendam perasaan biar pun ada yang tidak puas di hati.

Malam ini, tanpa berselindung lagi Riana menunjuk perasaan. Pasti ini sesuatu yang serius.

"Itulah, pergi jumpa Elly buat apa ? Kan dah sakit hati. Kenapa tak tanya saya dulu ?"
Dia cuba memeluk pinggang Riana tetapi tangannya ditepis kuat. Serentak itu Riana berpaling dan menghadap pandangan Remie dengan wajah berang.

"Tanya awak dulu huh ? Oh my God…. dalam seminggu berapa jam awak ada di rumah ni dan berapa minit awak bagi saya masa untuk bercakap dengan awak ?"
Remie terperanjat. Semenjak mengenali Riana belum pernah dia melihat wajah Riana seumpama itu. Wajah yang biasanya comel, putih kemerahan itu kini begitu tegang dan membiaskan nafsu amarah tidak terbendung.

"Setiap kali saya cuba berbincang awak mengantuk, letih, nak tidur… setiap kali saya nak tanya sesuatu awak marah, malas layan saya. Tak pernah ambil tahu apa yang saya nak cakap, tak pernah peduli apa saya fikir. Malam ni awak tanya saya kenapa tak tanya awak dulu ? My God !" Riana menekapkan kedua-dua tangan di kepalanya seperti kesal yang teramat.

Seketika kemudian sepasang mata miliknya kembali menentang pandangan Remie dengan sinar bagai menyala.
Remie terus terpempan. Ini bukan kekasih dan isterinya yang biasa. Dia tidak pernah menyangka Riana akan segarang dan seberani ini. Dalam pada itu telinganya terus menangkap butir bicara Riana yang sedang merepek-repek memarahi dirinya.


Agaknya sudah tertulis sejak azali hari ini hari Zuraimi Ahmad Zaki dimarah dan dimaki. Tadi Elly juga buat pertama kali memakinya dengan kata-kata kesat selepas penampar sulung Remie hinggap di pipinya. Sesungguhnya perbuatan itu di luar kawalan Remie. Gadis itu dengan bangga mengaku telah mendedahkan rahsia perhubungan mereka kepada Riana serta mencerca isterinya itu. Dan dalam perjalanan ke sini tadi, sewaktu dia menekan-nekan hon bagai orang gila kerana terperangkap dalam kesesakan, dia perasan pemandu-pemandu lain menjeling dengan pandangan jelek sambil mulut terkumat-kamit marahkan dirinya.

"Zuraimi ! Tiga tahun saya membodohkan diri kerana cintakan awak. Apa yang awak suka saya dahulukan, apa yang awak tak suka saya jauhkan. Segala kata awak saya ikut…ikut segala fiil awak, tapi awak! Apa yang awak tahu tentang saya ? Apa yang saya suka, tak suka pernah awak ambil peduli ? Awak anggap saya apa Remie ? Orang gaji ? Atau perempuan simpanan ?"

Suara Riana melantun-lantun sambil airmata merembes laju bagai seorang anak kecil yang marah kerana keinginannya tidak dipenuhi. Melihat keadaan Riana begitu Remie diserbu simpati tiba-tiba. Pasti setiap patah kata yang terkeluar dari bibir Riana telah dipendamkannya sekian lama. Rupanya Riana begitu menderita.

Kerana diakah Riana jadi begitu. Kalau orang lain pasti sudah ditumbuk mukanya kerana membuatkan isterinya bersedih begitu. Riana tidak patut disakiti sebegitu rupa. Kekesalan menggigit tangkai hati. Dialah orang itu. Dialah yang patut ditumbuk mukanya dan dialah yang seharusnya menumbuk muka sendiri.

Tubuh Riana segera dirangkul. Awalnya Riana meronta tetapi akhirnya terkulai layu di pelukan Remie. Cuma esak tangisnya yang kedengaran memecah kesunyian kondo itu. Remie terus terdiam tanpa kata. Di sudut hati terasa pedih. Mengapa mesti wujud hari ini dalam hidupnya.

********************************

Keheningan terus merajai suasana. Kebekuan itu merimaskan Remie. Riana di kepala katil masih tersedu dan dia sendiri di hujung katil memandang sepi.

"Cukuplah setakat ini. Izinkan saya pergi…."
"Tak boleh ! Saya tak benarkan awak melangkah setapak pun dari rumah ni Yana."
Riana melepaskan keluhan. Kedengaran seperti cukup bosan.
"Untuk apa saya terus hidup dalam rumah ni kalau awak takde sedikit hati pun untuk bersama saya ?" Suara itu kedengaran lirih dalam esakan yang tak kunjung henti.

Remie menangkap pergelangan tangan Riana dan dipegangnya kejap. Riana kelihatan benar-benar berjauh hati. Remie buntu. Kata-kata apa yang boleh melenturkan rajuk isterinya ini. Dia tidak ingin Riana pergi. Dia tidak mahu kehilangan Riana.

"Fikir dulu Yana. Jangan terburu-buru. Kita sekarang ni dah kahwin, bukan macam dulu lagi…"

"Maksud awak kalau dulu saya boleh pergi bila-bila masa dan awak boleh tinggalkan saya bila-bila masa ? Kalau macam tu saya menyesal kahwin dengan awak Remie !"

"Yana!"
Pegangan di tangan terlepas. Remie terduduk di birai katil sambil mendengus kasar. Sanggup Riana berkata begitu ?

"Awak sedar tak apa yang awak cakap ni ? Betul awak menyesal kahwin dengan saya Yana ?"

Riana diam tidak terkutik mendengar suara Remie yang melantun tiba-tiba. Nafsu marahnya memang menyatakan menyesal mengenali lelaki itu, tetapi jauh di sudut hati yang bercinta…menagih merayu dirinya agar segera memeluk dan membelai Remie yang sedang marah. Memandang Remie yang sedang menekup muka dengan kedua-dua tangannya itu, hati Riana digayut cinta yang kian menebal. Mana mungkin dia melangkah jauh dari sisi Remie.

"Saya menyesal lambat bertemu awak. Sebelum saya, awak dah ada seseorang yang sangat sayangkan awak. Tapi kenapa awak bersama saya ? Kenapa…kenapa rosakkan hidup saya dan buangkan masa saya Mie ? Awak permainkan saya sehingga tahap ini, sampai kita kahwin…tapi masih saya tak tahu di mana letak duduk diri saya di hati awak. Kenapa Mie ?"

Rintihan Riana menyerap satu-satu ke kotak fikiran Remie. Dia akui diri bersalah. Dia yang telah bertindak tanpa memikirkan kesan dan akibat. Dulu memang dia mendatangi Riana kerana nafsu semata-mata. Setelah dua tahun dia mula menyedari ketulusan Riana yang tak pernah curiga terhadapnya. Riana menyintai dirinya dengan sekeping hati tulus ikhlas, rela menyerahkan seluruh kehidupannya di tangan Remie. Lalu Remie semakin terikat. Bukan sekali dua dia cuba untuk meninggalkan Riana, tetapi hati lelakinya tidak mampu melakukan itu. Hidupnya takkan berseri tanpa Riana. Ketika itu Remie menyedari bahawa dia memang telah menyayangi Riana sepenuh hati.

Sementelah pula Elly tidak jadi pulang ke Kuala Lumpur mengikut masa perjanjian, lalu dia membuat keputusan untuk menikahi Riana. Pernikahan itu berlangsung atas dua sebab. Yang pertama dia mahu Elly tahu apa akibat mempermainkan janji, yang kedua kerana dia simpatikan Riana yang kerap menangis di tengah malam kerana terlalu menginginkan dirinya.

"Saya minta maaf sebab ganggu hubungan awak dan Elly. Mulai sekarang pergilah kepada dia, saya takkan mengganggu lagi. Belajarlah untuk setia kerana di pengakhirannya awak akan mendapat balasan yang sangat manis."

Bersama esakan yang masih bersisa Riana bangun perlahan-lahan mencapai mencapai beg pakaian lalu melangkah keluar dari bilik itu. Remie memandang terkebil-kebil. Riana benar-benar mahu pergi ?

Riana sudah menjadi isterinya, tanggungjawabnya. Hampir tiga tahun mereka bersama tanpa sekali pun berpisah jauh. Katil ini, kondo ini…sudah begitu sebati dengan Riana. Seandainya Riana pergi masih bisakah dia tinggal di rumah ini bertemankan bayang Riana cuma ? Sekali pun dia membawa Elly tinggal di sini menggantikan Riana, dapatkah Elly membawa seri di rumah ini sebagaimana yang telah dikecapinya bersama Riana. Tidak !

Remie menerpa sebaik mendengar bunyi pintu dibuka Riana. Beg besar di tangan Riana diragut lalu dihumbannya ke tepi. Tubh kecil Riana dipeluk erat.

"Yana…sayang…please ! Jangan pergi. Jangan keluar dari rumah ni. Jangan tinggalkan Mie. Boleh tak sayang ? Jangan tinggalkan Mie."

Mendengarkan itu hati Riana hancur berkeping-keping. Remie membahasakan dirinya 'Mie'. Jarang sangat Remie begitu. Kalau dia sedang rendah hati barulah membahasakan dirinya 'Mie'. Kalau tidak dia lebih senang ber'saya-awak' sahaja.
Riana tahu kini dia tidak mampu melangkah setapak pun lagi. Kejap pelukan Remie, kejap lagi ikatan hatinya di hati Remie. Lemahkah dia, hanya dengan beberapa patah perkataan mampu merubah keputusan yang tadinya begitu nekad. Remie…lelaki ini terlalu istimewa di hatinya.

Riana mencintai setiap inci tubuh di dalam pelukannya itu. Kulit, rambut, bulu-bulu halus di tubuhnya, tangan, bibir, apatah lagi hatinya ! Semua itu membuatkan naluri kewanitaan Riana bergetaran setiap kali memandang. Begitu juga tingkah laku, pemikiran, sikap, malah kata-katanya yang kadang-kala pedas itu …membuatkan kerinduan memutik setiap kali Remie tidak berada di pelukan.

Wajahnya diangkat perlahan memandang ke wajah Remie. Ah ! Ada air jernih bertakung di mata itu. Riana kaget. Seketika kemudian dia tidak dapat menahan bibirnya daripada tersenyum. Lucu ! Sepanjang mengenali Remie belum pernah dia melihat Remie ralatkan sesuatu sehingga membuat matanya berair. Remie turut tersenyum lalu menyeka airmata yang hampir menitis itu. Airmata di pipi Riana juga disapu sambil matanya tunak merenung ke mata isteri tersayang.

Syukurlah dia masih berkesempatan memandang mata itu. Jauh di sudut hati Remie mengikat satu janji.

Tiada sesiapa pun yang dapat memaksa Riana meninggalkannya, atau meminta dia meninggalkan isterinya itu !

BAB : 13

~ Sudah lama merindu kasih

Kini tuan datang menyerah~

Matahari bersinar cemerlang. Orang dulu-dulu kata matahari sudah tinggi segalah. Segalah ? Berjuta-juta galah pun belum tentu dapat mengukur ketinggian matahari. Riana tersenyum sendiri. Perumpamaan orang dulu-dulu memang bermacam-macam. Kadang-kala bila difikirkan berulang-ulang terasa lucu pula.

Keceriaan pagi itu bertambah seri dengan alunan lagu daripada Siti Nurhaliza, Dialah Di Hati. Riana sukakan lagu itu. Biar pun masih dalam ruang lingkup percintaan seperti yang sering diwar-warkan di dalam lagu cinta Melayu yang biasa, tetapi kali ini hatinya terpaut sejak pertama kali mendengar lagu itu. Sering dipasangnya lagu yang satu itu menggunakan MP3 berulang-ulang sehingga Remie mengusiknya minah jiwang.

Usai lagu itu barulah telinganya menangkap bunyi berdecit-decit dari tepi beranda. Oh, rupanya Koko dan Kiki belum bersarapan. Terlupa pula pada dua ekor hamsternya itu. Segera Riana menghampiri sangkarnya. Biasa di hujung minggu begini Riana tidak lupa mencuci sangkar mereka selepas selesai mengemas rumah.

Kasihan kedua-dua makhluk itu kelaparan. Bila dihulur tangan ke dalam sangkar, mereka segera menerkam dan menggigit jari Riana tanda terlalu lapar. Cepat-cepat dia meletakkan segenggam campuran jagung dan kuaci. Berebut-rebut mereka makan. Comel sekali. Geli hati Riana melihat mereka. Ketika sedang makan begitu, dipicit-picit badan dan kepala mereka pun tidak dihiraukan.

Minggu lepas Kiki baru melahirkan empat ekor anak. Dua ekor mati, tinggal dua ekor lagi yang mampu bertahan sehingga ke hari ini. Itu pun perlu diasingkan sangkar mereka takut dimakan si bapa. Kedua-duanya betina dinamakan sebagai Lala dan Lulu. Asalnya Remie mencadangkan nama Nana dan Nini untuk anak-anak hamster itu. Tergelak besar Riana. Kelakar saja Remie, nama adik-adiknya sendiri mahu diberi kepada anak-anak hamster.

"Dah besar nanti tentu montel-montel macam Nana dan Nini."kata Remie. Riana tergelak sahaja. Pasti mengamuk kedua-dua gadis montel itu kalau dinamakan hamster sempena nama mereka. Kedua-duanya pun tersangat geli dengan hamster. Si abang pula suka mengusik sehingga adik-adiknya tidak mahu datang berkunjung ke kondo mereka lagi.

Pernah sekali Remie memasukkan Koko ke dalam baju Nana yang ketika itu sedang khusyuk membaca novel. Menangis gadis itu dibuatnya. Remie pula ketawa terbahak-bahak. Sudahnya dia juga yang terkial-kial menahan serangan cubitan berbisa Nana dan Nini.

Boleh tahan juga Remie dalam bab mengusik. Tetapi kena mengikut moodnya juga. Kalau keadaan tidak baik, siapa menegur pun tidak dijawabnya. Kembang hati Riana setiap kali mengenangkan lelaki itu. Semenjak tiga tahun bersama, baru sebulan ini Riana merasakan dia sebahagian daripada hidup Remie. Remie telah membukakan sedikit ruang hatinya untuk Riana terokai. Baru kini Riana merasa berpijak di bumi nyata, merasai nikmat cinta Remie yang terlalu manis.

Tidak banyak yang Remie lakukan. Dia masih seperti dirinya yang biasa. Berwajah tegang jika penat, tetap mahu dilayan bagaikan raja malah tidurnya tetap mengiring membelakangi Riana setiap malam. Namun sikap Remie yang begitulah yang terus mengikat Riana untuk terus setia. Tidak mungkin dia dapat menerima perubahan kalau tiba-tiba Remie berubah sikap.

Bayangkan saja kalau Remie tiba-tiba menjadi terlalu romantik, mengucapkan cinta setiap pagi dan malam, atau sekelip mata pandai menguruskan diri sendiri, membasuh, menggosok pakaian sendiri atau memasak dan menghidang makanan kegemaran untuk isteri. Agaknya Riana pun boleh jadi muak. Dia tidak suka lelaki yang terlalu romantik atau terlalu melayan dirinya bagai permaisuri. Dia hanya sukakan lelaki yang seperti Remie. Remie suaminya yang kadang-kala manja tetapi ego. Remie yang menyayangi tetapi menyembunyi.

Syukurlah. Syukurlah dia bertemu Remie dan Remie adalah dirinya sendiri yang tidak cepat terubah dengan persekitaran.

*************************************************************************************************

Barangkali ini yang dikatakan rezeki orang berkeluarga. Rezeki isterinya Riana, mungkin. Baru saja dia menggembirakan hati isteri, Tuhan sudah membalas dengan mengurniakan rezeki ini.

Perjanjian kontrak pembekalan kiosk maklumat selama lima tahun dengan jabatan kerajaan sudah dimeterai. Senyuman bangga tidak putus-putus menghiasi wajah Remie. Apatah lagi Rahmat yang menganggap kejayaan ini sebagai penawar kesakitan selepas ditinggalkan isteri. Kasihan lelaki itu. Apalah dosanya diuji sebegitu rupa. Malah mencemburui Remie yang kononnya hebat bermain cinta.

"Apa ilmu kau pakai ha ? Sampai dua perempuan setia habis dengan kau, belum kira lagi client-client perempuan yang mengintai nak cucuk jarum. Aku ni ada sorang pun dah terbang."gurau Rahmat.

Remie hanya ketawa. Dia tidak mengamalkan ilmu apa-apa, tidak juga berbuat apa-apa. Dia adalah Remie yang biasa. Semuanya adalah kebetulan dirinya dicintai dua wanita. Elly kekasihnya yang terdahulu dan Riana yang muncul dalam hidupnya secara kebetulan dan kini sudah pun menjadi isterinya.

Bagi Remie, ada yang lebih bererti daripada kejayaan memperolehi kontrak ini. Rupa-rupanya perasaan memberi cinta lebih indah daripada menerima cinta ! Remie tidak pernah tahu itu. Selama ini dia hanya menerima cinta dan ada kalanya cinta dirasa begitu membosankan. Cinta berlebihan yang memualkan.

Tetapi sejak malam itu dia dapat merasai satu kelainan. Seolah-olah dia telah memasuki dimensi kehidupan baru yang sangat mempersona. Begitu indah, terang dan berwarna-warni. Setiap pagi bangun daripada tidur dihidang dengan senyuman indah Riana, hati terasa lapang.

Sewaktu tangannya menghalang Riana daripada meninggalkan kondo mereka malam itu, ada airmata bergenang tanpa disedari. Malah sempat dilihat Riana akan petanda cinta yang sangat mahal itu. Dan petanda itu telah dimengertikan Riana dengan sebenar-benar erti. Sememangnya dia belum bersedia untuk mengharungi kehidupan ini tanpa Riana setelah tiga tahun ditemani wanita itu dengan segala layanan mesra dan kesetiaan tidak berbelah bagi.

Siapa lagi yang sudi mendakap tubuhnya saban malam tanpa pernah mempersoal kenapa suaminya tidak tidur menghadap isteri ? Wanita mana lagi yang mampu menjaga kediamannya dengan begitu sempurna tanpa secolek habuk pada setiap masa, mengatur segala isi rumah di tempat yang sepatutnya tanpa pernah menyakitkan matanya memandang ? Rianalah wanita itu. Remie tidak pasti adakah dia boleh mencari seorang lagi wanita tulus setanding Riana yang mencintai dirinya tanpa henti meski pun pernah diseksa dengan kecurangan suami.

Mujurlah setitik airmatanya menitis , mentafsirkan kasih sayangnya yang menjadi Riana sekian lama. Remie bahagia. Kiranya curahan cinta yang sedikit itu memberi lebih erti berbanding menerima cinta yang banyak. Dia dibalas dengan rasa ketenangan dan kedamaian tidak terbanding. Melihat wajah Riana yang nyata lebih ceria sejak malam itu, hatinya turut terpalit dengan keseronokan. Betapa bahagianya menggembirakan orang lain.

"You memang macam ni ke Encik Zuraimi ?"

Remie berpaling. Senyuman terukir melihat wajah cemberut si gadis. Apa yang tidak kena ?

"What ? You expect I macam mana ?"

"No. You panggil I apa tadi ? Encik Zuraimi ? Well…for your information I tak suka perempuan cantik panggil I encik. Even tea lady sekali pun, kalau dia cantik macam you, heh ! Buat apa berencik-encik…panggil Remie sudahlah."

Suraya membuang pandang ke luar. Sesaat saja lelaki ini mampu merubah pandangan orang terhadapnya. Tadi sewaktu mula-mula mencecah punggung ke dalam Perdana itu, dia buntu menilai Remie antara pandangan matanya sendiri dengan desas-desus yang diperkatakan orang.

Apa yang pernah dijolokkan ke telinganya, bosnya itu 'very adorable and admirable'. Tapi apa yang dia alami, hanyalah sebuah suasana sepi antara dua manusia berlawanan jenis. Remie membisu sejak dari Putrajaya sehingga sekarang sudah masuk ke kawasan Bangi. Selepas dia menegur barulah Remie berpaling dan tersenyum.

Suraya tidak menyangka akan mendapat peluang begini. Peluang mendekati dan mengenali Remie, juga menyiasat, mungkin.

"Aku ada hallah Mie, nak kena pergi Rawang. Kau tolong hantar Sue balik boleh ? On the way rumah kau jugak kan… Sue, boleh ya, balik dengan Remie. Paksu ada hal sikit."

Suraya mengangguk. Remie tanpa banyak bicara menjemput Suraya ke kereta. Gadis itu baru empat bulan tamat pengajian dalam bidang IT. Rahmat yang beria-ria mahu melantik anak saudaranya itu sebagai staf IT untuk projek kiosk maklumat mereka. Kalau mengikut Remie lebih suka melantik pekerja yang mempunyai pengalaman kerja. Paling tidak pun lelaki.

Mereka masih dalam fasa percubaan selepas dua minggu memasang kiosk-kiosk itu di beberapa tempat tumpuan ramai. Kalau ada sesuatu failure teknikal pada sistem maklumat, sekurang-kurangnya staf itu boleh segera bergegas ke lokasi tanpa perlu menyusahkan sesiapa hatta jam dua pagi sekali pun. Ini, staf perempuan. Tiada pengalaman bekerja dan cantik pula. Leceh.

"So macam mana, rasa ok tak ? Boleh you handle IS kita ?"

Suraya agak tersentak. Dia berpaling sambil melontar senyuman manis.

"Yup, so far ok. Tapi you kan tahu, I'm a fresh graduate. Harap sudi tunjuk ajar."

Remie menjelingnya sekilas kemudian terus memberi perhatian ke jalan raya. Sebuah senyuman terukir menghiasi wajah.

"No problem."jawabnya ringkas.

Dalam diam Suraya mengamati bos muda ini. Selama empat hari dia menyertai syarikat perkongsian antara Remie dan bapa saudaranya ini, baru kali inilah dia berpeluang bercakap berdua dengan Remie.

Nampaknya benar seperti kata staf-staf di pejabat yang bos mereka ini memang layak digilai para gadis. Kacak, sentiasa berwajah serius namun sangat menawan kala tersenyum. Ada isteri, ada kekasih dan diminati ramai lagi perempuan di luar sana. Suraya merasakan saat itu dia pun tidak dapat menolong daripada tertarik kepada lelaki ini.

Remie tidak berusaha untuk kelihatan menonjol di mata perempuan namun penampilannya yang bersahaja itu yang membuatkan hati gadis bergetaran. Pada sekilas pandang dia bukanlah menarik sangat bagi perempuan yang tidak hairan dengan wajah tampan lelaki.

Puaslah Suraya tercari-cari di mana point Remie yang membuatkan ramai perempuan jatuh hati. Rupa-rupanya ketika dia berkata-kata barulah terserlah daya penarik terunggul lelaki itu. Pemikiran tersendiri dan gaya bersahaja yang bukan dibuat-buat. Pendek kata memang perempuan akan mudah cair selepas mengenali dia.

Kalau tadi dia agak protes di dalam hati kerana terpaksa pulang dihantar Remie, kini Suraya menyesal mengapa hanya dibawa melawat lokasi di Putrajaya, bukan di Johor Bahru atau Melaka. Jika tidak bolehlah dia berlama-lama di dalam kereta Remie.

"Well, ke mana I nak hantar you ni ?"soal Remie tiba-tiba. Sekali lagi Suraya tersentak.

"Ah, errr….ke rumah saya."

Remie tertawa. Apa sudah jadi dengan gadis ini, gugup semacam.

"Memanglah ke rumah you, takkanlah ke rumah I pula. Tapi beritahulah kat mana rumah you, I nak hantar you balik ni. Atau pun you belum sedia nak balik sekarang ?"tanyanya bersahaja.

Suraya terasa hatinya bagai dipalu. Jatuh cinta dengan bos sendiri ? Sungguh kelakar. Tetapi siapa yang dapat menolak godaan arjuna ini ? Kerlingan matanya saja sudah cukup membuatkan gadis tidak tentu arah. Ditambah pula dengan alunan suara dan iringan senyuman mesra.

"Ermm….kalau I tak nak balik sekarang, ke mana boleh I pergi. You suggestkan…"

Remie memaling wajah ke luar dengan sebuah keluhan kecil. Mengapa diwujudkan ramai gadis cantik di dunia ini…

BAB : 14

"Zuraimi di sini. Buat masa sekarang saya terlalu sibuk untuk menjawab panggilan anda. Sila tinggalkan pesanan, terima kasih."

Remie ! Dia terasa bagai mahu menjerit sekuat hati. Sudah penat jari-jemari mendail nombor Remie, tetapi hanya ungkapan itu yang diperolehnya berulang-ulang kali. Sudah hangat telefon di dalam genggaman, masih tiada dering, tiada jawaban. Elly terbungkam diam di pojok ruang tamunya. Pandangan terarah tajam ke telefon di dalam genggaman. Terasa bagai mahu dicampak telefon itu dari tingkat lapan apartmen itu. Dia tidak ingin mendengar suara rakaman, dia mahu suara Remie yang hidup !

Dua minggu tidak melihat bayang Remie cukup membuatkannya resah bagai ibu kehilangan anak. Semenjak mendapat tahu Remie bukan lagi miliknya seorang dia sering curiga dan merasa tertekan kalau Remie jauh darinya. Kalau boleh mahu setiap masa Remie di sisinya siang dan malam, dia mahu Remie tinggal terus bersamanya di rumah itu.

Namun Remie sering memberi alasan, dia punya isteri yang perlu dijaga hatinya. Ah ! Setiap kali Remie menyebut nama itu Elly terasa bagai terbakar. Panas sungguh. Kerana perempuan itulah perancangan hidupnya bersama Remie jadi tergendala. Sepatutnya dia yang menjadi isteri Remie, bukan Riana ! Dia juga marah kepada Remie yang curang, yang tidak mampu menahan godaan sepanjang ketiadaannya di sisi lelaki itu.

Sekarang Remie sudah termasuk jerat perempuan itu sehingga bernikah. Bukankah dulu Remie yang beriya-iya berjanji mahu menikahi dirinya sebaik saja dia tamat pengajian di London. Meski pun dia mahu bekerja di London sementara, tidak semestinya Remie menjadikan itu alasan untuk menikahi perempuan lain.

Remie ! Tanpa sedar dia telah melempar telefon yang sedari tadi di dalam genggaman ke atas sofa di hadapannya. Jiwa meracau-racau tidak keruan. Seksanya mengenali seorang lelaki bernama Remie. Namun dia tidak mampu meninggalkan lelaki itu.

Sudah penat menanggung rindu, perit pedih sepanjang bersama kalau mampu dilihat mungkin sudah berbirat, berjalur hitam coklat. Untuk melafazkan kata perpisahan tidak mungkin. Dia akan lebih terseksa selepas itu. Mengapa terlalu pedih perasaan ini. Airmatanya perlahan-lahan mengalir mencomotkan wajah yang masih bermekap. Dia belum berbuat apa-apa sejak pulang dari kerja petang tadi. Hanya menggenggam telefon, mendail, dan menaip SMS. Namun semuanya menghampakan.

"Mana kawan Elly tu ? Bawa dia datang jumpa papa."

"Elly dah besar, dah habis study…dah kerja pun. Kalau ada orang yang sesuai, why not Elly kahwin aje ? Mama tak suka Elly buat macam tu…kita ni kat Malaysia sayang, bukan kat London."

"Kau jangan nak malukan keluarga, Elly. Bukan abang tak tau kau selalu bawak lelaki tu masuk rumah kau. Jangan jadi bodoh. Kalau dia betul-betul ikhlas nakkan kau, suruh dia datang rumah ni, buat cara baik."

"Jangan sampai papa tarik balik keizinan untuk Elly tinggal sorang kat apartmen tu. Kalau ada apa-apa berlaku papa tak teragak-agak nak pindahkan Elly balik ke rumah kita ni tahu !"

Di keheningan malam Elly terisak sendiri.

Tekanan daripada keluarga tak mungkin dapat diabaikan. Entah bagaimana mereka dapat tahu tentang hubungannya dengan Remie. Papa, mama dan abang Fazrul marah dia bergaul bebas dengan Remie. Tidak mengapa kalau dia memilih Remie, mereka cuma marah dia berhubungan secara senyap-senyap.

Bagaimana dia hendak menghebahkan hubungan itu sedangkan Remie bukan miliknya seorang. Remie suami orang ! Mama dan papa tentu pengsan kalau mengetahui hal itu.

************************************************************************************************

Pagi hari hujung minggu itu Riana bersiap-siap untuk ke rumah Mimi. Temannya itu mengajak makan tengahari di rumahnya. Sudah agak lama tidak bertemu, pasti banyak cerita Mimi yang mahu dikongsi. Lagi pun tiada apa yang boleh dibuat di rumah. Remie sejak semalam lagi pergi ke Johor Bahru untuk memantau lokasi penempatan kiosk maklumatnya di sana. Petang ini baru balik.

Keizinan Remie telah pun diperoleh. Asalnya dia mahu ke rumah Mimi bersama Remie tetapi sejak memulakan projek pemasangan kiosk maklumatnya itu, Remie menjadi begitu sibuk mengalahkan menteri besar. Jumpa orang itu, jumpa orang ini, terkejar ke sana terkejar ke sini bagaikan lipas kudung. Setiap malam pulang ke rumah selepas jam dua belas. Ingatkan selepas mendapat projek kurang sedikit sibuknya, rupa-ruoanya sebelum dan sesudah mendapat projek sama saja sibuknya. Nasib baiklah dia sudah biasa dengan keadaan itu. Alah bisa tegal biasa. Agaknya sampai ke tua pun Remie takkan mempunyai masa lapang selagi dia menguruskan syarikatnya itu.

Walau apa pun Riana bersyukur Remie kini semakin prihatin terhadapnya. Sekurang-kurangnya akan menjamah hidangan yang disediakan Riana kalau berkesempatan. Dan yang paling penting, Remie tidur di dalam pelukannya setiap malam. Meski pun menjelang ke tengah malam baru sampai ke rumah, setidak-tidaknya tiada wangian wanita melekat pada tubuhnya. Tiada juga kesan gincu Elly pada bajunya. Apa sudah jadi dengan wanita itu ?

Riana tersenyum senang. Biarlah apa pun yang terjadi, asalkan dia jangan mengganggu Remie cukuplah. Agaknya Remie pun sudah tiada hati untuk melakukan maksiat lagi. Kalau benar begitu, Rianalah manusia yang paling gembira. Terima kasih Tuhan !

Selepas mengunci pintu rumah, Riana berlenggang turun ke tingkat bawah untuk ke kereta. Pagi yang sungguh cerah secerah hatinya kini. Buat seketika Riana leka memerhatikan anak-anak kecil bermandi-manda di kolam yang terletak di tengah-tengah empat blok kondo bertentangan satu sama lain. Nampak sungguh riang anak-anak itu ditemani ibu bapa masing-masing. Hati Riana turut berdetik keriangan. Mungkinkah suatu hari nanti dia dan Remie juga berada di situ bersama anak mereka bermain air ?

Enggan membiarkan diri terus berangan, Riana lalu memboloskan diri ke dalam kereta. Sebaik menghampiri pondok pengawal, keretanya ditahan. Seorang pengawal keselamatan yang memang dikenalinya menghampiri.

"Kenapa ?"tanya Riana selepas menurunkan cermin.

"Cik Nurriana Aisya, blok A nombor 1-34 kan ?"

"Ya, saya." Wajah pengawal yang bernama Iman itu ditatap hairan. Selalunya kalau dia melintasi pondok pengawal untuk keluar Iman akan mengangkat tangan sambil tersenym. Pagi ini, lain pula.

"Itu tadi ada sorang perempuan nak masuk., katanya nak pergi rumah cik tapi saya tak benarkan. Saya dah suruh balik pun dia degil, tu ada lagi kat luar. Dia kata nak tunggu cik keluar."

Riana melihat ke luar pagar. Memang ada sebuah kereta mewah tersadai di luar pagar dekat pondok pengawal. Nampaknya seperti Vios. Tetapi siapa perempuan itu ?

"Kenapa tak interkom rumah saya ?" Riana kembali memandang ke wajah Iman. Anak muda itu tersengih.

"Suami cik dah pesan jangan bagi sesiapa yang tak dikenali atau yang tak biasa datang sini masuk. Dia kata tak payah tanya cik Riana sebab kalau orang tu kenal cik tentu dia telefon cik sendiri."

Riana tersenyum dengan jawapan jujur itu.

"Bila dia pesan macam tu ?"

"Ermmm…rasanya baru dua-tiga hari lepas."

Riana terangguk-angguk. Nampaknya ada perkembangan baru, Remie risaukan dirinya. Tetapi siapa yang hendak mengancam keselamatannya ? Selepas mengucapkan terima kasih kepada Iman Riana lalu memandu perlahan ke arah kereta Vios itu. Kelihatan seorang perempuan berbaju merah berpaling ke belakang dan mula keluar dari keretanya.

Jantung Riana berdegup kencang. Elly ?

BAB : 15

~Apa tidak kesal di hati

Padi kutanam tumbuhnya lalang~

Sangat sukar kehidupan ini. Berkahwin susah, tak pun kahwin susah. Derita salah, bahagia pun salah ! Habis mana lagi mahu dituju. Bukan dia terlalu pesimis dalam hidup ini, cuma menyedari diri terlalu kerap diuji. Kadang waktu gagal memujuk diri yang hampir tersungkur di kaki takdir. Adakah kesilapan masa lalu akan terus menghantui hidupnya kini dan akan datang ?

"You jangan ingat you dah senang Riana. Bila-bila masa I boleh buat you down tahu. Apa ingat I tak tahu you dulu bohsia ? Hemmm ??"

Terkesima. Adakah kerana dendam telah mendesak gadis ini untuk menyiasat latar belakang dirinya sehingga ke akar umbi ?

"Remie mungkin bodoh dan lemah, sebab terpedaya dengan pujuk rayu you tu. Tapi tidak mak mentua you kan ? Tentu dia menyesal bermenantukan you kalau dia tahu you ni perempuan liar. Perempuan takde maruah yang memerangkap Remie sebab takde siapa lagi yang nak kutip you kan ?"

Pang ! Satu habuan dihadiahkan untuk perempuan bermulut celupar. Elly terpana seketika sambil menekup pipinya.

"Fahamlah hakikat hidup. Kalau Remie tak suka nak jumpa you lagi, anggap saja you dah tak cukup menarik untuk pikat dia. Jangan salahkan orang lain."

Namun seperti yang dizahirkan dari penampilannya, perempuan itu takkan mudah mengalah.

"Hei ! Apa you cakap ? Jangan salahkan you ? Oh, pandai nak elakkan diri. You yang rampas kekasih orang, entah-entah you bomohkan Remie sampai dia ikut cakap you, kemudian you halang dia dari jumpa I, sekarang you kata you tak salah ? Ha ?"

Riana tertawa sinis. Bagaimana gadis semoden ini boleh mengaitkan kehilangan kekasihnya dengan bomoh. Apalah yang telah merasuknya untuk berfikiran begitu.

"Cik Elly, you kata dah sepuluh tahun jadi kekasih Remie. Tapi sebenarnya you masih tak kenal Remie betul-betul ya. You ingat ada sesiapa boleh halang Remie daripada buat sesuatu yang dia suka ? Kalau betul dia sukakan you, tergila-gilakan you, even I atau emak dia sekali pun, takkan dapat halang dia daripada jumpa you. Betul tak ? That's mean dia dah tak suka pada you lagi, am I right ? Bye bye…"

Meninggalkan perempuan itu terkebil-kebil di sisi keretanya mungkin tampak seperti dia begitu gah dan tidak terusik langsung dengan pertemuan itu, namun hati di dalam hanya Tuhan yang tahu. Tercalar.

Dari sinar mata Elly dia dapat melihat kepedihan diabaikan Remie. Sepuluh tahun bersama, kini ditinggal-tinggalkan, bukan sesuatu yang mudah untuk diterima. Dia pernah menghadapi itu dan dia pernah merasai sengsara penangan cinta Remie. Namun apalah daya Riana sebagai seorang pesaing.

Menyarankan Remie menikahi Elly ? Huh ! Bukan dia yang mendambakan payung emas di syurga. Bukan dia orangnya yang menempah maut sendiri. Apa erti payung emas kalau hati tidak redha. Dia tidak mahu menjadi isteri yang sentiasa menyimpan sakit hati terhadap suami sendiri. Terlalu besar hukuman di alam sana nanti andai Remie tidak mampu berlaku adil. Dan setelah tiga tahun berusaha untuk mengenali Remie kini dia tahu bukan mudah untuk lelaki itu menurut sebenar-benar syariat yang ditetapkan.

"Kenapa sejak akhir-akhir ni selalu termenung ? Saya dah ada depan mata pun ingat orang lain lagi ke ?"

Riana melirik pandang. Remie tersenyum sambil memegang majalah Maskulin. Hairan, bila masa pula dia suka membaca majalah. Selalunya apa yang dibacanya cumalah kertas-kertas kerja yang melambak dan juga buku-buku berkaitan perniagaan. Kebelakangan ini dia kelihatan senang selalu. Mungkin kerana urusan perniagaannya berjalan lancar.

"Sejak bila baca Maskulin ni ?"tanya Riana sambil merapat kepada Remie yang sedang berlunjur di katil. Kepalanya direbahkan di riba Remie. Maskulin diletakkan di sisi lalu Remie meraut rambut panjang Riana yang terhampar di ribanya.

"Kenapa ? Takut saya bertambah macho, takut ramai orang minat laki awak ?"guraunya. Riana ketawa kecil. Mood Remie sedang baik. Masa inilah kalau hendak bermanja dan bergurau atau bertanya apa-apa. yang agak sensitif. Namun dia masih ragu, perlukah dia menimbulkan hal tentang Elly pada saat itu.

"Awak tak jawab lagi soalan saya…"

Riana mendongak memandang Remie. Keningnya berkerut.

"Kenapa selalu menung ? Ingat siapa ?"jelas Remie.

"Ohh…."

Riana beralih mengiring ke kiri. Tangannya masih erat di dalam genggaman Remie yang sedang menanti jawaban.

"Ingat Elly…"tutur Riana perlahan.

"Ha ? Madu awak tu ? Awak yang ingat dia, bukan saya ?"balas Remie dengan ketawa. Tubuh Riana dibalikkan agar menentang pandangannya. Riana mencubit paha Remie dengan geram.

"Bila pulak saya ada madu ?" Riana memuncung. Remie pula masih tersenyum-senyum. Tubuh Riana didakapnya erat.

"Yela…mana tahu awak nak suruh saya kahwin dengan dia. Jadilah madu…"guraunya lagi. Riana semakin menarik muka.

"Dah berapa lama awak tak pergi rumah dia ?"

Kali ini Remie betul-betul terperanjat. Rianakah yang bertanya begitu ?

"Kenapa ni ? Awak nak suruh saya pergi rumah dia ke ? Awak ni betullah…saya selalu ada dengan awak salah, saya tak balik rumah pun salah. Apa yang awak nak ?"

Remie bingkas bangun mencapai kotak rokok di atas meja lalu keluar ke beranda. Riana mengekori dengan pandangan mata.

Dia belum pun berkata apa-apa tentang Elly Remie pula telah membuat andaian awal. Seketika kemudian Riana turut bangun dan menyusul Remie di beranda selepas menyarungkan tubuhnya dengan baju luar. Udara malam pastinya dingin. Di luar Remie tersandar di atas kerusi malas sambil pandangannya tajam merenung pemandangan malam yang dihiasi kuning putih cahaya lampu. Asap rokok berkepul ke udara. Dia menarik nafas dalam-dalam.

Elly. Memang sudah agak lama dia tidak menemui gadis itu. Tentu dia keresahan mencarinya bagai cacing kepanasan. Kesibukan kerja membuatkan masanya agak terbatas untuk mendampingi Elly seperti selalu. Elly pula jarang menghubunginya bagaikan merajuk. Lagi pun sejak dua tiga bulan ini dia lebih suka pulang tidur di rumah. Riana dan kondominium Sri Bayu bagai sentiasa melambai kepulangannya selepas usai urusan kerja.

Di benaknya ada terfikir yang selama ini dia bagaikan lelaki bodoh yang tidak tahu pelabuhan mana harus disinggah. Sekejap ke hulu sekejap ke hilir. Sampai bila harus begitu sedangkan di pengakhirannya dia harus membuat keputusan tepat. Tidak mungkin dia boleh bergilir-gilir antara Riana dan Elly sehingga bila-bila. Itu kerja gila. Namun kerja itulah yang telah dilakukannya sejak setahun lalu.

"Marah ke ?"tegur Riana lembut. Remie menoleh sekilas tanpa senyuman. Jejari Riana yang singgah di bahunya dipegang lembut. Dia tidak marah cuma berasa keliru saat terkenangkan Elly. Kalau boleh dia tidak ingin berbicara tentang itu. Tetapi sampai bila mahu menjadi pelarian. Sampai masanya Elly pasti menuntut haknya.

"Kenapa tiba-tiba cakap pasal Elly ? Awak tak suka saya selalu ada di rumah ni ?"

Riana tersentak. Dia telah membuat keadaan menjadi tegang. Sesekali dia tidak ingin membuat Remie marah atau tersinggung namun dia sedar perkara ini harus ada penyelesaian. Lambat-laun pasti berbangkit jua.

"Bukan. Awak kan suami saya. Tentu saya suka awak selalu bersama saya. Tapi Elly… dia sedang bersedih. Dia kata awak dah lama mengabaikan dia. Saya faham perasaan dia… dia dah mencintai awak lama sebelum saya, tentu dia marah kalau tiba-tiba awak tak pedulikan dia."balas Riana perlahan. Perasaannya sayu terkenangkan Elly. Perempuan itu walau pun kelihatan berjiwa keras namun hakikatnya hati wanita, siapalah yang dapat merasai kepedihan kecuali diri sendiri.

Remie menarik Riana supaya duduk di pangkuannya. Kedua-dua tangannya melingkari tubuh kecil itu dengan telapak tangannya diletakkan di perut Riana yang leper. Hidungnya mencium harum rambut Riana. Selesa. Memeluk Riana bagai memberi pengertian dia sedang melindungi wanita itu dari segala bencana dan dendam manusia. Remie mulai sedar tangan yang dia ada cumalah dua. Mana mungkin dia memberi perlindungan kepada lebih dari seorang wanita.

"Sudahlah. Tak payah risau-risau pasal orang lain ok. Yang penting awak fikirkan pasal kita je. Saya laki awak, awak bini saya. Dah, titik."putus Remie. Riana melepas keluhan kecil. Remie sejak dulu suka meminggirkan masalah, bukan mencari penyelesaian. Sedangkan Riana pula rimas kalau membiarkan sesuatu perkara tanpa ada kata putus.

"Tapi sampai bila nak biar keadaan macam ni. Saya takut datang masalah lain pulak nanti, awak juga yang susah."

"Sudah ! Masalah saya biar saya yang fikirkan. Awak tak payah nak risau tak tentu pasal." Keras suara Remie. Dia lalu bangun menuju ke katil. Hati Riana dipagut kesal.

Perlahan-lahan dia menutup pintu gelongsor dan menarik rapat tirai dua lapis menutupi pintu kaca jernih itu. Lampu bilik tidur ditutup selepas menyalakan lampu tidur yang malap. Kemudian dia turut berbaring di katil. Tubuh Remie yang sedang menelungkup itu dipeluk erat.

"Janganlah marah, saya cakap je…"pujuknya lembut. Remie membatukan diri. Ketika tangannya mula memegang punggung Remie, barulah suaminya itu tergelak dan menepis. Tubuhnya dibalikkan ke arah Riana.

"Lain kali jagalah tepi kain orang lagi. Nanti saya tak balik rumah setahun baru awak tahu."ugutnya. Riana senyum mengejek.

"Yakah ? Saya tak hairan pun ?"

Remie menjegilkan matanya.

"Tak hairan kata awak. Tengoklah nanti…"

"Ni, sebuk-sebuk hal orang, hal awak bila nak fikir?"soal Remie semula.

"Hal apa ?"

"Hal awak la…bila nak mengandung ? Hari tu kata nak anak sangat."

Riana tersenyum panjang. Perasaannya bagai dijolok. Gembira dan bagai tidak percaya Remie tiba-tiba bercakap tentang anak. Ketika itu terasa kasihnya buat Remie melimpah-ruah bagai air di musim tengkujuh. Remie diciumnya penuh cinta kasih.

"Malam ni kot saya start mengandung…"

Remie turut tersenyum sambil memeluk isterinya erat.

0 comments:

 
LiFe Is UnPrEdiCtaBle Blogger Template by Ipietoon Blogger Template