Budi Bahasanya Tidak Terkira
Kurang Ajarnya Tetap Santun
Jika Menipu Pun Masih Bersopan
Bila Mengampu Bijak Beralas Tangan.
Melayu Itu Berani Jika Bersalah
Kecut Takut Kerana Benar,
Janji Simpan Di Perut
Selalu Pecah Di Mulut,
Biar Mati Adat Jangan Mati Anak.
Melayu Di Tanah Semenanjung Luas Maknanya:
Jawa Itu Melayu,
Bugis Itu Melayu
Banjar Juga Disebut Melayu,
Minangkabau Memang Melayu,
Keturunan Acheh Adalah Melayu,
Jakun Dan Sakai Asli Melayu,
Arab Dan Pakistani,
Semua Melayu Mamak Dan Malbari Serap Ke Melayu
Malah Mua'alaf Bertakrif Melayu
(Setelah Disunat Anunya Itu)
Dalam Sejarahnya
Melayu Itu Pengembara Lautan
Melorongkan Jalur Sejarah Zaman
Begitu Luas Daerah Sempadan
Sayangnya Kini Segala Kehilangan
Melayu Itu Kaya Falsafahnya
Kias Kata Bidal Pusaka
Akar Budi Bersulamkan Daya
Gedung Akal Laut Bicara
Malangnya Melayu Itu Kuat Bersorak
Terlalu Ghairah Pesta Temasya
Sedangkan Kampung Telah Tergadai
Sawah Sejalur Tinggal Sejengkal
Tanah Sebidang Mudah Terjual
Meski Telah Memiliki Telaga
Tangan Masih Memegang Tali
Sedang Orang Mencapai Timba.
Berbuahlah Pisang Tiga Kali
Melayu Itu Masih Bermimpi
Walaupun Sudah Mengenal Universiti
Masih Berdagang Di Rumah Sendiri.
Berkelahi Cara Melayu
Menikam Dengan Pantun
Menyanggah Dengan Senyum
Marahnya Dengan Diam
Merendah Bukan Menyembah
Meninggi Bukan Melonjak.
Watak Melayu Menolak Permusuhan
Setia Dan Sabar Tiada Sempadan
Tapi Jika Marah Tak Nampak Telinga
Musuh Dicari Ke Lubang Cacing
Tak Dapat Tanduk Telinga Dijinjing
Maruah Dan Agama Dihina Jangan
Hebat Amuknya Tak Kenal Lawan
Berdamai Cara Melayu Indah Sekali
Silaturrahim Hati Yang Murni
Maaf Diungkap Senantiasa
Bersahut Tangan Diulur Sentiasa Bersambut
Luka Pun Tidak Lagi Berparut
Baiknya Hati Melayu Itu Tak Terbandingkan
Selaga Yang Ada Sanggup Diberikan
Sehingga Tercipta Sebuah Kiasan:
Dagang Lalu Nasi Ditanakkan
Suami Pulang Lapar Tak Makan
Kera Di Hutan Disusu-Susukan
Anak Di Pangkuan Mati Kebuluran"
Bagaimanakah Melayu Abad Dua Puluh Satu
Masihkan Tunduk Tersipu-Sipu?
Jangan Takut Melanggar Pantang
Jika Pantang Menghalang Kemajuan;
Jangan Segan Menentang Larangan
Jika Yakin Kepada Kebenaran;
Jangan Malu Mengucapkan Keyakinan
Jika Percaya Kepada Keadilan.
Jadilah Bangsa Yang Bijaksana
Memegang Tali Memegang Timba
Memiliki Ekonomi Mencipta Budaya
Menjadi Tuan Di Negara Merdeka
Hasil nukilan Sasterawan Negara, Dato' Dr. Usman Awang...
Saya gemar meneliti bait-baik kata ini..dalam kerendahan diri, ia menyucuk hati..
tapi ada benarnya kata-kata Usman Awang..kerana bangsa Melayu itu terlalu baik hati..
terlalu baik yang memberikan maksud reverse psikologi...sedangkan bangsa lain mula mengeluarkan taring..mula mencari apa yang tidak mereka miliki!
Datangmu sekadar berdagang..singgahmu cuma sebentar...
Kini seluruh hak ketuanan ini ingin kau sambar!
Sajak-sajaknya sentiasa segar, kukuh serta akrab dengan akar budi Melayu dan perikemanusiaan...Kata-kata dalam puisinya adalah lambang Melayu sejati yang cinta akan akarnya....Keterpesonaannya tertancap kukuh pada alam yang melahir, membesar dan mendewasakannya...jiwa puisinya adalah jiwa Melayu tulen...Cintanya tidak mengenal batas.. Daripada nelayan dan buruh kasar sehinggalah Melayu yang menduduki kepimpinan tertinggi, dia menegur menerusi kata-kata lembut tetapi menusuk ...
Membaca karya Allahyarham, terutama puisi-puisinya, kita tidak berasa marah atau terhina akan tegurannya itu.....Malahan seharusnya berterima kasih kerana dia memberikan kita rasa untuk berfikir bahawa kita harus menjadi Melayu yang kenal peribadi sendiri....
Jika anda sebangsa denganku..tetapi tidak merasa apa-apa setelah selesai membaca bait-bait yang terakhir...gali semula adakah anda benar-benar Melayu...jika kita tidak dapat menghunus senjata di luar sana...jika kita tidak mampu berdebat dengan megah di luar sana..biarlah ia bercambah mekar biarpun sekadar di dalam dada..
Siapa kata aku tidak bangga lahir serta menjadi Bangsa Melayu ?????
kerana bangsaku kaya budayanya...
hehehe..entri yang agak racist..
0 comments:
Post a Comment